
KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad mengangkat muzik dakwah sebagai wadah perjuangan seni, kumpulan nasyid legenda Rabbani bakal mengukir satu lagi detik bersejarah menerusi Konsert Intifada Rabbani yang dijadual berlangsung pada 20 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Dianjurkan oleh Universe Gateway, konsert solo mega berdurasi dua jam itu bakal menyatukan semula tujuh anggota Rabbani, terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Mohd Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.
Ketua kumpulan Rabbani, Azadan berkata konsert itu selain bakal menampilkan rangkaian lagu-lagu ikonik Rabbani seperti Intifada dan Pergi Tak Kembali dengan susunan baharu serta gabungan visual dramatik dan elemen lakonan yang menyentuh jiwa.
“Walaupun Intifada bermaksud perjuangan atau kebangkitan, kami juga mahu penonton merasai pengorbanan dan kasih sayang dalam keluarga… bukan sekadar semangat nak berjuang,” katanya pada sidang media konsert itu baru-baru ini.
Selain Rabbani, konsert itu juga akan menampilkan artis-artis jemputan seperti Brothers, Yabang dan Aeydan.
Menurut Azadan, Konsert Intifada antara impian yang telah lama dinantikan Rabbani selepas kali terakhir tampil pada Konsert Simfoni Kesyukuran di Zepp Kuala Lumpur, dua tahun lepas.
“Insya-Allah, ini antara konsert terbesar dan paling istimewa pernah kami laksanakan serta bakal menjadi kenangan paling bermakna sebelum kami ‘menutup mata’ dalam dunia seni,” katanya.
Konsert itu juga akan memuatkan segmen khas sebagai penghormatan kepada tiga anggota Rabbani yang telah pergi menghadap Ilahi, termasuk vokalis utama Allahyarham Mohd Asri Ibrahim.
Sementara itu, Mohd Asri Ubaidullah berkata cabaran terbesar menjelang konsert ialah memastikan mutu vokal di pada tahap terbaik memandangkan kebanyakan lagu Rabbani memerlukan teknik dan kawalan suara yang tinggi.
“Kami kini sedang giat berlatih di studio ‘jamming’ sebagai persiapan,” katanya yang turut menyatakan keyakinan terhadap sambutan penonton.
Mohd Asri juga berkongsi bahawa penglibatan artis jemputan dipilih berdasarkan kesesuaian konsep dan mesej persembahan termasuk Aeydan yang merupakan generasi baharu dalam kalangan keluarga Rabbani.
“Sambutan terhadap nasyid kini sangat luar biasa. Ini hasil usaha semua kumpulan otai (lama) dan baharu. Kita buat kerja kita, yang bagi hasilnya Allah,” katanya.– Bernama