Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • QMUSH bawa revolusi cendawan di Kuching
  • TEMPATAN

QMUSH bawa revolusi cendawan di Kuching

Utusan Sarawak 4 hours ago
 PENGASAS QUE MUSHROOM COMPANY, Mohammad Zakaria Jamsari, tampil dengan inovasi produk berasaskan cendawan di acara jualan yang menawarkan pelbagai pilihan seperti cendawan rangup, pekasam cendawan dan sambal istimewa. Foto Norman B

PETRA JAYA: Bermula dengan cabaran lambakan cendawan segar yang tidak terjual, seorang usahawan tempatan bangkit mencipta kelainan apabila mengangkat bahan tersebut menjadi produk inovatif yang kini semakin mendapat tempat di pasaran.

Pengasas QUE MUSHROOM COMPANY, Mohammad Zakaria Jamsari, 41, berkata idea menghasilkan produk berasaskan cendawan tercetus apabila beliau menanam cendawan tiram kelabu dan cendawan kuping (Black Jelly) sejak 2018, sebelum beralih kepada penghasilan produk hiliran pada 2023.

“Apabila berlaku lambakan, saya mula fikir bagaimana untuk mengelakkan pembaziran. Dari situ lahirnya idea menjadikan cendawan sebagai produk seperti pekasam, sambal dan snek,” katanya ketika ditemui di pusat pemprosesannya di Jalan Bukit Siol, di sini.

Menurut beliau, antara produk di bawah jenama QMUSH ialah Crispy Mushroom, Pekasam Cendawan Tiram, Pekasam Cendawan Kuping, Sambal Cendawan Tiram Gula Apong dan Mushroom Thai Sauce yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

PEKASAM cendawan kuping.

Katanya, penggunaan cendawan sebagai bahan utama dalam pekasam dan sambal merupakan kelainan berbanding produk konvensional seperti berasaskan daging atau makanan laut. Malah, sambal yang dihasilkan menggunakan gula apong Sarawak memberikan rasa yang lebih autentik dan berbeza.

“Produk paling mendapat sambutan ialah Crispy Mushroom dengan perisa original dan pedas. Selain itu, pekasam dan sambal cendawan juga semakin mendapat perhatian pelanggan,” ujarnya.

Tambahnya, semua produk dihasilkan menggunakan cendawan segar daripada sumber tempatan bagi memastikan kualiti terjamin serta mampu bertahan lebih lama.

Dalam pada itu, Zakaria mengakui cabaran utama sebagai pengusaha kecil adalah memperkenalkan jenama QMUSH kepada masyarakat agar lebih dikenali.

CRISPY Mushroom dengan perisa original dan pedas.

Namun begitu, sambutan yang diterima khususnya di bazar dan acara jualan amat menggalakkan, malah produk berasaskan cendawan dianggap unik dan ‘rare’ dalam kalangan pelanggan.

“Lebih menarik, produk kami juga mesra vegan, jadi ia mudah dinikmati oleh pelbagai lapisan pengguna termasuk vegetarian,” jelasnya.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berharap dapat memperluaskan pasaran QMUSH hingga ke negara jiran, sekali gus membawa produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.

 SAMBAL cendawan tiram gula apong

“Harapan saya agar masyarakat terus menyokong produk usahawan tempatan supaya kami dapat terus berkembang dan bersaing,” katanya.

Dengan semangat inovasi dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu, QMUSH kini dilihat berpotensi menjadi pencetus kepada revolusi produk cendawan di Kuching.

Oleh Norman B

MUSHROOM Thai Sauce

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan perpisahan Naib Canselor UTS
Next: Sarawak Energy pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang Aidilfitri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.