
SARIKEI: Qari dan qariah berpengalaman digesa memainkan peranan lebih aktif sebagai pembimbing dalam melahirkan generasi pelapis berkualiti bagi memastikan kecemerlangan seni bacaan al-Quran terus berkembang di bahagian Sarikei.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kesinambungan kecemerlangan tilawah al-Quran hanya dapat dikekalkan menerusi usaha melahirkan lebih ramai pelapis yang berilmu, berdisiplin dan berkemahiran.
“Dalam masa yang sama, saya menggesa qari dan qariah berpengalaman agar tidak menyimpan ilmu yang dimiliki.
“Jadilah pembimbing kepada generasi baharu dengan melatih pelapis muda di masjid, surau dan komuniti masing-masing.
“Kesinambungan kecemerlangan hanya dapat dikekalkan apabila lahir pelapis yang berkualiti, berdisiplin dan mempunyai minat yang mendalam terhadap seni bacaan al-Quran,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Tilawah al-Quran Peringkat bahagian Sarikei 2026 di Masjid Ar-Rahmah, semalam.
Beliau berkata, usaha itu diyakini mampu memastikan bahagian Sarikei terus melahirkan qari dan qariah yang berupaya bersaing pada masa hadapan.
Len Talif, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, berkata seramai 11 peserta menyertai pertandingan itu, terdiri daripada enam qari dan lima qariah.
“Penyertaan saudara dan saudari membuktikan semangat memartabatkan syiar Islam melalui bacaan al-Quran terus subur di bahagian Sarikei.
“Majlis Tilawah al-Quran bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi wadah untuk meningkatkan kecintaan terhadap al-Quran serta memperbaiki mutu bacaan dalam kalangan masyarakat.
“Pada masa yang sama, penguasaan ilmu taranum amat penting kerana ia membantu memperindahkan bacaan al-Quran mengikut kaedah yang betul, meningkatkan penghayatan terhadap ayat-ayat suci serta menarik lebih ramai masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mendekati al-Quran,” katanya.
Beliau berharap peserta tidak berpuas hati dengan pencapaian di peringkat bahagian, sebaliknya terus memperbaiki bacaan, menguasai taranum, tajwid dan teknik vokal bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
“Jadikan kejayaan itu sebagai pemangkin untuk mengharumkan nama bahagian Sarikei di persada yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya, manakala mereka yang belum berjaya disaran menjadikan pengalaman yang diperoleh sebagai dorongan untuk terus berlatih dan meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Oleh Earl Anek