
KUCHING: Liga Juara Bola Sepak Belia Petronas 2025 (PYFCL 2025) dilihat sebagai platform penting dalam membentuk disiplin, sahsiah serta jati diri belia Sarawak melalui keseimbangan antara pembangunan sukan dan akademik.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar medan pertandingan bola sepak di peringkat akar umbi, sebaliknya simbol harapan dan potensi besar anak-anak muda Sarawak dalam sukan berprestij itu.
“Liga Juara Bola Sepak Belia Petronas 2025 ini merupakan kemuncak perjalanan pembangunan bola sepak belia bagi tahun ini apabila menghimpunkan seramai 500 pelajar bersama pihak pengurusan daripada 20 pasukan terbaik bagi kategori bawah 14 tahun dan 16 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Liga Juara Bola Sepak Belia Petronas 2025 (PYFCL 2025) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurutnya, kejohanan itu mencerminkan usaha kolektif dan visi bersama dalam membina masa depan belia melalui sukan, khususnya bola sepak, demi pembangunan Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Tambah beliau, kejohanan yang berlangsung selama tujuh hari bermula esok hingga 3 Januari depan itu diadakan di Stadium Sarawak dan Stadium Negeri, Kuching.

Dalam ucapannya, Omar turut menekankan kepentingan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan remaja sambil menyifatkan sukan sebagai medium terbaik untuk membina keyakinan diri, mengurus emosi serta memperkukuh kesihatan fizikal dan mental.
Beliau mengingatkan para pemain muda bahawa disiplin diri merupakan kunci kejayaan, termasuk dalam pengurusan masa antara latihan dan pelajaran, penjagaan sikap serta kesungguhan untuk terus berusaha walaupun berdepan cabaran.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pencapaian akademik tidak boleh diketepikan dalam mengejar kejayaan di padang kerana pendidikan merupakan asas kepada masa depan yang lebih luas.
“Di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, kami percaya sukan dan akademik perlu bergerak seiring. Apabila kedua-duanya seimbang, kita dapat melahirkan pelajar yang holistik, sihat tubuh badan, cerdas minda dan kukuh sahsiah,” katanya.
Mengulas pembangunan bola sepak secara menyeluruh, beliau berkata proses tersebut memerlukan masa, kesabaran dan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk sekolah, ibubapa, jurulatih serta rakan korporat seperti Petronas yang menyediakan platform pembangunan belia.
Beliau turut menggesa para pemain agar menjadikan kejohanan itu sebagai ruang pembelajaran dengan mempamerkan semangat kesukanan, menghormati rakan sepasukan dan pihak lawan serta menerima kemenangan dan kekalahan dengan jiwa yang besar.
“Kejohanan tersebut diharap dapat menjadi kenangan bermakna yang membentuk peribadi para pemain bukan sahaja sebagai atlet, tetapi sebagai insan berakhlak, berilmu dan berdaya tahan,” katanya.