Siapa sangka kuih tradisional, putu kacang hijau, terus mendapat tempat di hati penggemar kuih tradisi Melayu itu walaupun sudah memasuki tahun 2020, malahan, permintaannya tidak pernah putus dan meningkat setiap tahun terutamanya menjelang Hari Raya.
Mengakui perkara itu, pembuat kuih putu kacang tradisional, Norhani Mat Darus, 51, seorang suri rumah berkata kuih tradisional itu sememangnya antara kuih yang paling laris dan diminati kerana permintaannya sentiasa ada sepanjang tahun.
“Ada ketikanya saya terpaksa menolak tempahan yang banyak daripada pelanggan kerana proses pembuatannya bukanlah satu yang mudah. Ini kerana saya masih mengekalkan cara pembuatan tradisional dengan menggunakan dapur kayu untuk menggoreng kacang hijau.
“Kebiasaannya, saya menerima tempahan 70,000 biji putu kacang hijau, bersamaan 1,400 kotak pada musim perayaan. Kalau hari biasa, saya hanya membuat 1,500 biji untuk dihantar ke kedai kek dan bakeri. Kadang-kadang dalam seminggu 20 kotak sudah habis dan pihak kedai hubungi saya untuk tambah stok,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi proses pembuatan putu kacang, Norhani berkata kuih tradisional itu hanya menggunakan dua bahan utama iaitu kacang hijau dan gula pasir. Bagaimanapun, proses untuk menghasilkannya mengambil masa kerana kacang hijau perlu disangrai sebelum dikisar menggunakan mesin dan kemudiannya diayak untuk menjadi tepung.
Tambahnya, gula pasir pula perlu dimasak sehingga betul-betul halus dan diperam selama tiga hari untuk memastikan gula tidak berketul-ketul semasa mengadunkannya bersama tepung kacang hijau.
“Masa hendak menggaul tepung dengan gula, kita perlu pandai mengagak. Saya mengambil masa lima ke enam tahun untuk benar-benar mahir bagi mendapatkan adunan yang cantik. Kalau mak saya, hanya dengan melihat sahaja, sudah tahu sama ada gula cukup atau tidak.
“Adunan ini kemudiannya akan ditekap dan ditekan ke dalam acuan yang mempunyai pelbagai corak tradisional. Putu yang sudah siap perlu dijemur kira-kira sejam di bawah panas matahari bagi memastikannya tidak rapuh dan boleh disimpan dalam tempoh masa yang lama,” katanya, yang mempelajari cara pembuatan kuih putu kacang itu daripada ibunya, Hamisah Bahtir, 78 tahun.
Menurut Norhani, perniagaan putu kacang itu sebelum ini diusahakan oleh ibunya dan beliau meneruskan perniagaan itu sejak 10 tahun lepas dengan dibantu suaminya, seorang pesara tentera, Ku Wan Ku Ahmad, 54.
Mengenai permintaan kuih itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui tempahan untuk putu kacang sempena Hari Raya tahun yang lalu berkurangan dengan tempahan hanya 30,000 biji sahaja yang diterima.
“Saya pun tidak berani untuk terima banyak (tempahan). Walaupun tempahan tidak banyak, saya tetap bersyukur kerana masih menerima tempahan. Sekurang-kurangnya saya boleh berehat, kalau tidak malam Raya pun saya masih menekap dan menekan putu kacang lagi sebab ada yang menempah.
“Tahun ini, saya hanya buat di rumah sahaja dan dibantu suami serta anak. Kalau sebelum ini saya buat putu kacang di bengkel berhampiran rumah dan dibantu oleh tiga orang pembantu,” katanya yang menjual sekotak putu kacang berisi 50 biji pada harga RM10.– BERNAMA