
LABUAN: Seorang lelaki warga emas cedera manakala 33 rumah rosak dalam kejadian ribut seperti puting beliung di kawasan perumahan MPL, Tanjung Aru, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, mangsa Wong Kwet Kiong, 64, mengalami kecederaan di kepala selepas terkena objek yang diterbangkan angin dan dihantar ke Hospital Labuan untuk rawatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Abdul Rahman Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.12 malam sebelum mengerahkan sebuah jentera bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.


“Apabila tiba di lokasi, kawasan perumahan itu dalam keadaan gelap kerana gangguan bekalan elektrik. Beberapa jalan turut terhalang akibat dipenuhi serpihan dan objek tumbang.
“Jumlah sebenar penduduk yang terjejas masih disiasat kerana ramai telah berpindah sementara ke rumah saudara-mara,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rahman berkata anggota bomba menumpukan kepada kerja membersihkan jalan dan mengalihkan objek berselerakan bagi memastikan kawasan itu selamat untuk kegunaan penduduk serta laluan pasukan kecemasan.

“Beberapa kenderaan di kawasan rumah yang terjejas turut rosak akibat dihempap objek manakala beberapa pokok besar di kawasan sekitar tumbang akibat angin kencang,” katanya.
Mangsa, Azahar Aziz, 36, berkata ketika kejadian dia berada di rumah bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.


“Kejadian bermula dengan hujan diikuti kilat dan angin kencang menyebabkan kami segera menutup tingkap.
“Tidak lama kemudian, bumbung rumah kami diterbangkan angin dan rumah dimasuki air. Kini, kami menumpang di rumah saudara sementara menunggu bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya. – Bernama