SIBU: Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap aspirasi rakyat Sarawak yang ingin menikmati kemajuan hebat seperti dikecapi oleh rakyat di Semenanjung.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin ini merupakan pendekatan yang baik untuk memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah-wilayah di negara ini.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan mempunyai sumber yang besar untuk mendapatkan pulangan hasil negara yang besar sambil membuka peluang kepada kawasan-kawasan lain untuk sama-sama menambahkan hasil.
“Alhamdulliah, Sarawak kebelakangan ini juga mempunyai peluang untuk meningkat hasil negeri. Terima kasih kepada pimpinan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sebelum ini yang prihatin terhadap usaha Sarawak untuk memperoleh lebih hasil daripada sumber alamnya seperti minyak dan gas.
“Oleh itu, saya yakin Kerajaan Persekutuan akan terus prihatin terhadap usaha Sarawak untuk menambahkan hasil negeri melalui inisiatif seperti penyimpanan karbon di luar pantai dengan dasar yang lebih terbuka,” katanya.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Katanya, sebagai sebahagian dari Kerajaan Persekutuan, kaedah yang akan mewujudkan keadaan ‘menang menang’ kepada semua pihak ialah melalui perkongsian dan kerjasama tanpa menidakkan hak mana-mana pihak.
Beliau berkata, baru-baru ini Sarawak telah berjaya menjadi tuan rumah SUKMA ke-21 walaupun 2024 bukan giliran Sarawak untuk menjadi tuan rumah.
“Namun, atas semangat kerjasama dalam gagasan Kerajaan Perpaduan, Sarawak telah menyahut cabaran untuk menjadi hos pada tahun ini.
“Alhamdullilah, Sarawak telah muncul sebagai juara keseluruhan dengan 76 pingat setelah menunggu 30 tahun,” katanya.
Abang Johari juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju dengan tawaran Sarawak untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA pada 2027 dengan anggaran kos RM350 juta daripada RM700 juta keseluruhannya.
“Saya percaya pada 2027, infrastruktur udara, khususnya syarikat penerbangan Sarawak sendiri sudah memulakan operasi untuk memudahkan lagi pergerakan ke Sarawak dan keluar Sarawak.
“Saya juga percaya menjelang 2027 sistem pengangkutan awam di Kuching, iaitu ART (Sistem Transit Aliran Automasi), juga sudah beroperasi untuk memudahkan pergerakan di sekitar bandar raya Kuching.
“Di samping itu, saya yakin kemudahan sukan telah siap dinaik taraf mengikut piawaian antarabangsa supaya Sarawak boleh menjadi tuan rumah yang sudah cukup bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA,” katanya.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Menteri bertangggungjawab Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024, Dato Sri John Sikie Tayai; Menteri-menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri, ketua jabatan dan sekitar 1,500 tetamu lain.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING
Gambar
Tun Wan Junaidi (lima dari kiri) bersama yang lain pada simbolik perasmian majlis sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di Sibu, hari ini.