Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Putrajaya perlu berlaku jujur isu hak minyak, gas di Sarawak
  • TEMPATAN

Putrajaya perlu berlaku jujur isu hak minyak, gas di Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
KETUA Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Christopher Gira Sambang.

SIBU: Kerajaan Persekutuan perlu berlaku jujur dari sudut perlembagaan dalam isu hak minyak dan gas di Sarawak serta tidak menyempitkan tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Christopher Gira Sambang berkata ini bagi mengelak implikasi perundangan sebenar.

Katanya, dakwaan bahawa MA63 tidak menyebut secara khusus mengenai minyak dan gas bukanlah satu hujah perundangan yang sah, sebaliknya satu cubaan untuk mengaburkan hak perlembagaan negeri-negeri khususnya Sabah dan Sarawak.

“MA63 bukan digubal sebagai undang-undang teknikal untuk mengawal industri tertentu, sebaliknya merupakan perjanjian penubuhan yang menentukan pembahagian kedaulatan, kuasa perundangan serta kawalan ekonomi dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa MA63 tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, dan juga tidak mengawal peranan entiti petroleum seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Azalina dipetik sebagai berkata bahawa MA63 berfungsi sebagai dokumen asas yang menggariskan pembentukan Malaysia, termasuk beberapa hak dan autonomi bagi Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Gira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin menegaskan kekuatan undang-undang MA63 terletak pada hakikat bahawa perjanjian tersebut telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi asas kepada struktur persekutuan negara.

Katanya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, tanah dan sumber asli termasuk minyak dan gas adalah perkara di bawah Senarai Negeri, kedudukan yang telah wujud sejak 1963 dan kekal sehingga kini.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kuasa ini dilindungi lagi oleh Artikel 95D yang memperuntukkan bahawa undang-undang Persekutuan berkaitan perkara Senarai Negeri tidak terpakai melainkan diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata minyak dan gas yang terletak di bawah tanah tidak pernah menjadi milik Persekutuan dari sudut perlembagaan asal.

“Jika Kerajaan Persekutuan mempunyai hak milik perlembagaan ke atas petroleum sejak awal, tidak akan timbul keperluan untuk menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974). Akta tersebut wujud tepat kerana hak milik itu bukan milik Persekutuan pada asalnya,” jelasnya.

Menurut beliau, kedudukan Sarawak lebih jelas kerana negeri ini telah mempunyai Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) 1958 sebelum pembentukan Malaysia, yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan Sarawak ke atas petroleum dan tidak pernah dimansuhkan secara sah.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan Petros serta penggubalan undang-undang gas negeri bukan satu tindakan mencabar Persekutuan, sebaliknya pelaksanaan kuasa yang tidak pernah dilucutkan secara sah.

Gira turut mempersoalkan ketidakkonsistenan Kerajaan Persekutuan dalam mentafsir MA63.

“Apabila MA63 dikatakan ‘senyap’, kita diberitahu bahawa diam itu bermaksud tiada hak. Namun apabila bercakap mengenai MA63 dan Perlembagaan secara nyata, ia pula diabaikan, seperti dalam isu hak 40 peratus Sabah yang terpaksa dikuatkuasakan melalui mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, isu ini bukan soal menentang Kerajaan Persekutuan, sebaliknya berkait dengan kejujuran perlembagaan.

“Jika Kerajaan Persekutuan mahu mempertahankan kawalannya ke atas minyak dan gas Sarawak, ia perlu berterus terang dengan rakyat bahawa kawalan tersebut bersandar kepada undang-undang pasca-1963 dan susunan politik, bukan pada MA63 atau Perlembagaan seperti yang direka asalnya,” katanya.

PRS, tambah beliau, berdiri teguh menyokong kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri seperti termaktub di bawah MA63.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Isu gas, minyak: Kenyataan Azalina bersifat tafsiran sempit, mengelirukan
Next: Isu gas, minyak: Pemuda PBB tuntut penjelasan Kerajaan Persekutuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.