
LATAR BELAKANG
Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani 62 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah atas nama ‘pemberian khas’.
Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.
Bagaimanapun, banyak tahun bayaran itu tidak ditunai oleh Kerajaan Persekutuan.
Bayaran pertama dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta, dan RM26.7 juta untuk Sabah.
Namun, selepas itu bayaran ini dihentikan. Tiada alasan diberi, sekurang-kurangnya secara rasmi, terus senyap dan sepi.
Namun, Putrajaya mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah bagi memenuhi desakan kedua-dua negeri sejajar dengan tuntutan di bawah MA63.
Jumlahnya dinaikkan pula kepada RM600 juta mulai tahun ini, berbanding RM300 juta sejak November 2023.
Ini masih berbentuk sementara atau interim kerana Putrajaya berjanji untuk memberi agihan tetap tahunan.
Namun, sehingga sekarang, Kerajaan Pusat belum memberi keputusan muktamad kadar sebenar berasaskan formula khas yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Sebaliknya, bayaran ‘interim’ RM600 juta setahun mulai tahun ini, adalah untuk tempoh lima tahun akan datang iaitu bagaikan peruntukan dalam MA63 ‘tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali’ sedangkan ia masih berbentuk sementara, bukan jumlah ‘muktamad dan munasabah’.
Tempoh pemberian interim lima tahun itu didedahkan buat kali pertama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazalli pada sesi soal-jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.
Sharifah Hasidah, berkata sebagai langkah interim, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan jumlah Geran Khas atau pemberian khas untuk Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta setahun selama lima tahun.
“Namun kerajaan Sarawak tetap mahukan satu formula yang lebih adil dan kekal berdasarkan semakan kewangan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
MUKTAMADKAN SEGERA
Beberapa hari kemudian iaitu Ahad lalu, apabila ditanya media mengapa bayaran ‘interim’ itu begitu lama sehingga lima tahun, Sharifah Hasidah berkata:
“Sarawak mahu agar formula tetap geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan segera demi menjamin hak kewangan negeri ini.
“Setakat ini pemberian itu bersifat interim atau sementara. Jumlah bayaran interim sebanyak RM600 juta (setahun) yang diberikan Kerajaan Persekutuan hanyalah langkah sementara.
“Kerajaan negeri Sarawak telah membuat cadangan dan telah mengemukakan formula kita, tetapi ini belum mendapat kelulusan.
“Namun, kita berterima kasih sebab Kerajaan Persekutuan walaupun belum meluluskan formula yang kita cadangkan, telah bersetuju untuk memberi geran khas secara interim dulu.
“Bayaran ini bersifat sementara sahaja, sementara kita menunggu kelulusan terhadap formula yang kita ajukan.
“Kita akan terus berunding melalui jawatankuasa teknikal, jawatankuasa kerja dan di peringkat tertinggi bagi memastikan formula ini diterima,” katanya pada majlis sumbangan Saberkas Prihatin anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Seberkas sempena sambutan Hari Gawai 2025, di Muzium Budaya Borneo.
Tempoh lima tahun ini menimbulkan persoalan, sedangkan ia cuma interim yang sepatutnya tempoh lebih singkat seperti setahun dua.
Kecualilah ada bab dalam perjanjian (jika ada) iaitu perbezaan bayaran interim dan bayaran penuh, akan dibayar kemudian secara ‘backdated’ mulai 2025.
Contoh: Bayaran interim RM600 juta setahun. Jika kemudiannya ditetapkan jumlah sebenar bayaran pemberian khas itu, RM1 bilion setahun, maka perbezaan RM400 juta itu perlu dibayar balik mengikut tempoh dikuatkuasakan.
Ketika mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta itu pada awal 2023, Anwar sendiri menyatakan ia adalah pembayaran peringkat awal atau interim sebelum satu formula khusus diumumkan nanti.
Rakyat Sarawak masih menunggu formula khusus itu. Malah Premier Sarawak, sebelum ini bertegas mahukan pemberian kadar yang munasabah.
“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil.
PERLU ADIL
“Harapan saya adalah agar mereka dapat memahami formula kita, yang saya nampak lebih adil kepada Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak) berlandaskan kepada hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pusat dari Sarawak.
“Sebagai contoh, duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat walaupun ia hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah kita dan tanah adalah aset kita,” kata Abang Johari pada 2023.
Persoalannya ialah berapakah jumlah Pemberian Khas itu nanti?
Formula yang dikemukakan Abang Johari sebelum ini ialah jika hasil negara banyak, maka banyak juga diberi untuk Sarawak dan begitu juga sebaliknya kerana negeri ini yang kaya dengan sumber minyak dan gas, turut menyumbang banyak kutipan hasil cukai untuk negara.
Apa yang dimaksudkan oleh Premier Sarawak itu ialah jika hasil negara bertambah, maka bertambahlah jumlah Pemberian Khas itu.
Satu lagi persoalan, apakah Kerajaan Pusat perlu membayar tunggakan yang tak berbayar sejak 1970, apabila bayaran itu dihentikan pada 1969?
Bayangkan selama 52 tahun sejak 1970 hingga 2022, Sarawak tidak menerima apa-apa dari Kerajaan Pusat meskipun ia ketetapan mengikut MA63 dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini bermakna, ada dua isu di sini – bayaran pampasan iaitu jumlah terkumpul selama 52 tahun atau formula khusus dengan kadar pemberian khas tahunan yang munasabah kepada Sarawak dan juga Sabah.
Berapa jumlah yang munasabah? Perkataan ‘munasabah’ ini agak subjektif, terbuka kepada tafsiran tetapi perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
Tidak pasti pula mengapa isu ini ‘disenyapkan’ selama 52 tahun.
Perkara ini juga selain keseluruhan tuntutan di bawah MA63 perlu dikekal dan diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan tidak kira parti mana atau siapa menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum nanti.
Pada akhiran coretan ini, hayatilah bait lagu ‘Gurindam Jiwa’ supaya suatu hari nanti, tidak menyesal menidakkan Sarawak yang jadi ‘kingmaker’ sebagai penentu pentadbir di Putrajaya.
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.