
Brasília, Brazil: Sekurang-kurangnya enam orang maut dan kira-kira 750 lagi cedera apabila sebuah puting beliung memusnahkan hampir keseluruhan sebuah bandar di selatan Brazil, menurut pihak berkuasa, semalam.
Menurut pihak berkuasa negeri Parana, puting beliung berkelajuan sehingga 250 kilometer sejam itu melanda bandar Rio Bonito do Iguacu, yang berpenduduk kira-kira 14,000 orang.
Ribut yang disertai hujan batu itu hanya berlangsung beberapa minit namun cukup untuk meranapkan ratusan kediaman, sekolah dan premis perniagaan. Foto udara menunjukkan hampir keseluruhan bandar tersebut musnah dengan serpihan bangunan berselerakan di setiap penjuru.
“Ia memusnahkan segalanya iaitu bandar, rumah dan sekolah. Apa akan jadi kepada kami?” kata Roselei Dalcandon, seorang penduduk yang kehilangan kedai miliknya akibat bencana itu.
Seorang lagi mangsa masih dilaporkan hilang, sementara 90 peratus kawasan bandar dilaporkan mengalami kerosakan, menurut agensi Pertahanan Awam Parana.
Imej yang tular di media sosial menunjukkan banyak rumah kehilangan bumbung atau musnah sepenuhnya.
Pasukan penyelamat kini giat mencari mangsa yang terselamat dan mayat di bawah timbunan runtuhan.
Sebuah pusat perlindungan sementara turut dibuka di bandar berdekatan bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Ketua agensi Pertahanan Awam Parana, Fernando Schunig, menyifatkan keadaan di lokasi sebagai ‘seperti medan perang’, dan memberi amaran bahawa jumlah korban mungkin meningkat kerana puting beliung berpusat di kawasan tumpuan penduduk.
“Apabila kejadian sebegini melanda kawasan bandar, tahap kemusnahannya amat besar dan sangat membawa maut,” katanya.
Beberapa bandar lain di negeri Parana serta negeri berhampiran turut dilanda ribut kuat, angin kencang dan hujan batu akibat corak cuaca ekstrem yang sedang melanda wilayah tersebut.
Tahun lalu, selatan Brazil mengalami banjir besar yang mengorbankan lebih 200 orang dan menyebabkan dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di negeri Rio Grande do Sul – antara bencana alam terburuk dalam sejarah moden Brazil.
Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berkata, satu pasukan menteri dan pakar pengurusan bencana dihantar ke kawasan terjejas bagi menilai kerosakan dan menyalurkan bantuan segera.
Amaran ribut berbahaya turut dikeluarkan untuk seluruh negeri Parana serta negeri Santa Catarina dan Rio Grande do Sul, menurut jabatan meteorologi Brazil. -AFP