
MOSCOW: Presiden Vladimir Putin, menyatakan keyakinannya bahawa tentera Rusia semakin hampir dalam usaha membebaskan wilayah Kursk.
Perkara itu dinyatakan ketika Ukraine memberi isyarat ia sedang menarik balik tenteranya berikutan kemaraan pasukan Rusia.
Dalam lawatan pertamanya ke wilayah itu sejak Ukraine melancarkan serangan balas secara mengejut pada Ogos lalu, Putin memuji kejayaan terbaru tenteranya dan menggesa mereka untuk terus berjuang.
“Saya yakin semua tugas tempur yang dihadapi unit kita akan diselesaikan dan wilayah Kursk akan segera dibebaskan sepenuhnya daripada musuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Rusia, Valery Gerasimov, memberitahu Putin bahawa pasukan Rusia sudah merampas semula 24 penempatan di wilayah sempadan itu dalam tempoh lima hari terakhir.
Beberapa minit selepas ucapan Putin disiarkan di televisyen negara, Panglima Tertinggi Tentera Ukraine, Oleksandr Syrsky memberikan bayangan tenteranya mungkin berundur bagi mengurangkan jumlah korban.
“Dalam keadaan paling sukar, keutamaan saya adalah dan akan tetap menyelamatkan nyawa askar Ukraine. Untuk tujuan ini, unit pertahanan akan bergerak ke posisi lebih strategik jika perlu,” kata dalam satu hantaran di Facebook, menggunakan bahasa yang sering digunakan bagi menggambarkan pengunduran taktikal.
Katanya, walaupun tekanan daripada tentera Rusia/Korea Utara semakin meningkat, mereka akan terus bertahan di wilayah Kursk selagi ia wajar dan perlu.
Ukraine dan sekutunya mendakwa lebih daripada 10,000 askar Korea Utara kini sedang berperang untuk Rusia di Kursk.
Gerasimov berkata, Rusia menangkap 430 askar Ukraine di wilayah itu, manakala Syrsky mendakwa 942 askar Rusia menjadi tawanan perang.
Putin berkata pejuang Ukraine yang ditawan perlu “dilayan seperti pengganas, mengikut undang-undang Persekutuan Rusia, sekali gus memberi bayangan mereka boleh dibicarakan di mahkamah negara itu dan dipenjarakan selama beberapa dekad.
Sebelum ini, Rusia sudah mendakwa beberapa pejuang Ukraine yang ditawan di mahkamah atas tuduhan keganasan.
Namun, Konvensyen Geneva melarang sebarang tindakan perbicaraan ke atas tawanan perang kerana pembabitan mereka dalam pertempuran bersenjata.
Menurut Gerasimov, Rusia sudah merampas semula kira-kira 1,100 kilometer persegi (425 batu persegi) wilayah di Kursk, iaitu hampir keseluruhan kawasan yang sebelum ini dikuasai Ukraine dalam serangan balas mengejut pada Ogos 2024.
Kejayaan tentera Rusia ini berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) menggesa negara itu supaya bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari tanpa syarat, satu cadangan yang disokong oleh Kyiv. Ukraine sebelum ini berharap dapat menggunakan kawalannya di wilayah Kursk sebagai kelebihan dalam rundingan damai dengan Moscow.-AFP