
JOHOR BAHRU: Nurul Izzah Anwar terus memperkukuh kedudukan dalam kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden parti bagi sesi 2025-2028 sekali gus melakar sejarah baharu dalam perjalanan politiknya.
Kejayaan ‘Puteri Reformasi’ itu merebut jawatan tersebut daripada pesaing tunggal yang juga penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli, memperlihatkan keyakinan akar umbi terhadap peranan dan idealisme yang dibawa beliau sejak penubuhan PKR hampir tiga dekad lalu.
Nurul Izzah menang setelah memperoleh 9,803 undi.
Daripada Naib Presiden, Nurul Izzah, 44, kini melangkah ke jawatan nombor dua parti dan dilihat sebagai lambang kepimpinan generasi baharu dalam PKR menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu pernah menjadi Naib Presiden parti itu bermula 2010 sebelum meletak jawatan pada 2018.
Semasa pemilihan parti pada 2022, Nurul Izzah tidak bertanding namun dilantik ke jawatan sama dan selepas pelbagai desas-desus, akhirnya pada 9 Mei lepas beliau mengesahkan pencalonannya bagi Timbalan Presiden PKR untuk edisi kali ini setelah mengambil kira pandangan akar umbi.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang itu berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh.
Nurul Izzah, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tenaga Nasional dan Ijazah Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, mengembangkan kerjaya politiknya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai pada PRU12 selepas menewaskan penyandang ketika itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRU13 sebelum berpindah ke Permatang Pauh dan menang besar pada PRU14 namun tewas pada PRU15.
Nurul Izzah dikenali sebagai tokoh yang lantang memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan sosial, pendidikan serta reformasi institusi selain mengangkat isu berkaitan wanita, kanak-kanak dan golongan B40 dalam wacana dasar negara.
Beliau juga dikenali dengan pendekatan politik nilai dan berpaksikan prinsip serta berpegang kepada idealisme bahawa politik bukan sekadar perebutan kuasa sebaliknya platform memperjuangkan keadilan dan perubahan sistemik.
Antara jawatan yang pernah disandang ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican serta Pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI).– BERNAMA