
BALINGIAN: Pasukan Puteri Bunian Walinong Sari menampilkan kayuhan cemerlang apabila muncul juara dalam acara Piala ADUN N.58 Balingian kategori dua kilometer 30 Pekayuh Lelaki, sekali gus dinobatkan sebagai Raja Sungai pada Pesta Bederun Balingian 2025.
Perahu Puteri Bunian, milik Man Arena bukan sahaja mengungguli saingan penuh sengit itu malah membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala kemenangan.
Tempat kedua disandang pasukan Kasihnya Warisan, milik Kaunselor Ardyman Matan yang menerima hadiah wang tunai RM5,000, manakala tempat ketiga diraih Warisan Tropika milik Mohd Amirudin Hussin dengan hadiah wang tunai RM3,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi pada majlis penyampaian hadiah di Tapak Pesta Bederun Balingian, hari ini.
Acara perlumbaan perahu ini merupakan kemuncak acara air sempena Pesta Bederun Balingian 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dan berakhir hari ini.
Turut hadir ADUN Tellian Royston Valentine, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Yang di-Pertua Persatuan Generasi Melanau Balingian yang juga Pengerusi Bersama Pesta Bederun Balingian 2025 Hafizzul Abdul Halim serta wakil Ahli Parlimen Mukah Almalhakim Norshidi. -UKAS