SIBU: Pustaka Negeri Sarawak, Sibu mensasarkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada kira-kira 300,000 populasi penduduk Sibu menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka, Dr Rashidah Bolhassan, seramai 6,511 orang telah berdaftar sebagai ahli Pustaka Negeri Sarawak, Sibu sejak dibuka pada 15 September lalu.
“Pustaka Negeri Sarawak, Sibu merupakan portal untuk wilayah tengah yang meliputi beberapa bahagian di Sibu, Mukah, Kapit dan Sarikei.
“Penduduk di Sibu harus menggambil kesempatan ini untuk berkunjung ke Pustaka Sibu untuk menikmati pelbagai kemudahan dan perkhidmatan maklumat yang telah disediakan untuk semua,” katanya pada sidang media, semalam.
Hadir sama Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Sibu Fairul Azil Banchit dan Timbalan CEO (Perkhidmatan) Pustaka Negeri Sarawak Arpah Adenan.
Menurutnya lagi, Pustaka Negeri Sarawak, Sibu juga yang pertama menyediakan Bilik Warga Emas di samping mesra Orang Kelainan Upaya dan ruang untuk kanak-kanak.
Katanya, pihak Pustaka Negeri Sarawak, Sibu juga mengalu-alukan maklum balas daripada pengunjung serta warga Sibu berhubung perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan agar dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual akan merasmikan Majlis Perasmian Pustaka Negeri Sarawak, Sibu pada pada 21 Oktober ini.
Berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), jelasnya, majlis ini hanya akan dihadiri seramai 250 orang tetamu sahaja.
Pada majlis itu juga katanya, akan berlangsung penyampaian Anugerah Perpustakaan Awam Ketua Menteri Sarawak 2020 yang akan disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri.
“Penganjuran anugerah ini bertujuan sebagai salah satu usaha untuk menekankan pentingnya perpustakaan dalam sesuatu komuniti.
“Para juri adalah dari Persatuan Pustakawan Malaysia, Ketua Pustakawan Universiti Malaya, dan Pengurus Pusat Pengurusan Pengetahuan Bank Negara,” katanya.
Akan turut berlangsung adalah pelancaran buku Pustaka Negeri Sarawak: ‘our page turning 20’ iaitu dokumentasi kepada komitmen yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Lembaga Pengurusan, kakitangan, pengguna dan semua pihak berkenaan.
Oleh Nurzilla Mohamad