KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan menganjurkan Sambutan Minggu Arkib Sedunia bermula 26 hingga 28 Jun dengan pelbagai program menarik yang bakal diadakan.
Tema sambutan Minggu Arkib Sedunia 2023 tahun ini adalah ‘Archives United’ dan ia diterima pakai oleh institusi arkib di seluruh dunia untuk meraikan kepentingan rekod dan arkib, individu atau Institusi, dan jabatan kerajaan yang diamanahkan untuk menyimpan dan menyelenggara Rekod dan Arkib.
Tema ini ditentukan oleh International Council of Archives (ICA), pengasas program Minggu Arkib Sedunia 2023.
Program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Minggu Arkib Sedunia 2023.
Pustaka Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, objektif utama sambutan Minggu Arkib Sedunia 2023 ialah mengukuhkan pemahaman tentang fungsi Repositori Rekod Negeri dalam pengurusan rekod dan arkib di jabatan atau agensi kerajaan Sarawak bermula daripada mewujudkan rekod hingga pelupusan dan pemindahan rekod untuk tujuan arkib.
“Selain itu, untuk menggalakkan budaya aktiviti sukarela di Repositori Rekod Negeri yang menawarkan peluang untuk individu yang berminat dalam sejarah dan meningkatkan pengetahuan, dan kemahiran mereka dan menyumbang kepada pencapaian objektif,” katanya.
Dalam pada itu, dua aktiviti menarik dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak iaitu Sarawak Records and Archives Networking (SARAN) dan aktiviti Rakan Arkib.
“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk menerokai koleksi arkib yang menarik dan mendapatkan peluang berharga dengan menjadi ahli ‘Rakan Arkib’.
“Sertai kami untuk menyelidiki dunia arkib yang menarik, di mana anda akan menemui hasil kerja kami secara langsung!,” katanya lagi.
Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai program dan aktiviti yang dijadualkan sila berhubung dengan pegawai seranta di talian 082 – 440488 /374000 / 019 – 882 6966 atau e-mel di statedepository@sarawak.gov.my.