SIBU: Masyarakat setempat harus membuat permintaan jika mahu pusat seni persembahan dibina di kawasan mereka.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak kini sedang mengubahsuai bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk menjadi pusat seni persembahan.
Menurutnya, kerja-kerja mengubahsuai itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
“Semasa menghadiri jamuan ringan sebelum menghadiri program ini, saya telah ditanya sama ada tempat lain ada pusat seperti ini.
“Tanggapan saya ialah, ia bergantung kepada kawasan setempat, sama ada di Sibu atau di tempat lain.
“Masyarakat setempat harus membuat permintaan jika mahu kemudahan seperti itu dibina atau dibuka di Sibu. Kami memerlukan infrastruktur seperti ini untuk mempamerkan seni persembahan dan bakat kami,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Festival Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) Edisi Ke-10 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1, malam tadi.
Katanya, dengan pusat seumpama itu persembahan boleh dihargai dan disampaikan dengan standard yang lebih tinggi.
“Saya tidak mengatakan persembahan di kawasan lapang seperti ini (Dataran Tun Tuanku Bujang) tidak baik. Tetapi, sudah tentu, faktor seperti hujan boleh menjejaskan kualiti persembahan.
“Sebagai contoh, semasa saya menghadiri Festival Kebudayaan Borneo (BCF) di sini, hujan turun. Saya tidak ingat sama ada tahun lepas atau tahun sebelumnya. Hujan menghalang penghibur daripada mengekspresikan diri sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau beharap jika pusat seni persembahan yang sempurna tidak dapat dibina, sekurang-kurangnya dewan suarah perlu diubah suai secepat mungkin.
“Dengan cara ini, kita boleh mempunyai ruang untuk acara seperti ini tanpa perlu bimbang tentang cuaca,” ujarnya lagi.
SIDF kini telah memasuki edisi ke-10, dianjurkan oleh Hornland Dance Theatre, dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Acara yang berlangsung selama tiga hari itu bermula 17 hingga 19 September, menjanjikan pelbagai jenis tarian, moden dan tradisional yang akan memukau para pengunjung.
Turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Pengerusi MPS Clarence Ting Ing Horh dan pengerusi penganjur, Chen Ing Kuan.
Oleh Akun Giman