KERJASAMA… UNIMAS melalui Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan PERKESO bagi memberi perkhidmatan perubatan rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi UNIMAS.
PERKESO telah diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, manakala UNIMAS pula diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. • Foto NUR AIN OTSMAN
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhasrat untuk membuka sebuah Pusat Satelit MYFutureJobs di kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) agar para siswazah dan graduan di universiti tersebut dapat memperoleh manfaat menerusi program dan perkhidmatan PERKESO.
Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed berkata, sehingga 22 Julai lalu, Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menawarkan lebih 290,000 jawatan kosong aktif di seluruh negara, di mana 20,362 daripadanya adalah di Sarawak.
“Menerusi perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs dan pelaksanaan pelbagai aktiviti program pasaran buruh aktif oleh PERKESO, seramai 549,112 individu telah berjaya mendapat pekerjaan di seluruh Malaysia, termasuk 21,352 anak jati Sarawak,” katanya.
Baru-baru ini, PERKESO dan UNIMAS memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membuka laluan kepada pelbagai kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak.
Kerjasama menerusi MoU ini akan menyokong usaha PERKESO dan UNIMAS bagi menyediakan dan memanjangkan program serta kemudahan rehabilitasi di Bumi Kenyalang menerusi penyediaan kemudahan tersebut di Hospital Pengajar UNIMAS.
Inisiatif mumi ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya bagi pencarum PERKESO untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi di kampus UNIMAS.
Selain itu, pemeteraian MoU ini juga akan merintis kolaborasi dua hala dalam aspek penyelidikan dan pembelajaran, bertujuan untuk meningkatkan kemahiran serta pengetahuan anggota dalam bidang-bidang seperti perubatan, rehabilitasi, intervensi neurologi, kesihatan mental, kemahiran kesihatan bersekutu, robotik, latihan vokasional, keselamatan dan kesihatan, pengurusan hilang upaya, program Kembali Bekerja (RTW), dan program perkhidmatan pekerjaan.
Pemeteraian MoU tersebut telah direalisasikan dalam satu majlis yang telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, UNIMAS, di mana PERKESO telah diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, manakala UNIMAS pula diwakili oleh
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. Kerjasama tersebut telah disaksikan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Datuk Dr. Hafez Hussain serta Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS, Prof. Madya Dr. Ehfa Bujang Safawi.
Kata Mohammed Azman lagi, kerjasama yang dipateri melalui MoU dengan pihak UNIMAS ini mencerminkan keprihatinan kedua belah pihak terhadap kebajikan golongan pekerja.
“ Saya percaya, pemilihan UNIMAS sebagai strategik PERKESO adalah satu langkah yang tepat dan selari dengan objektif ‘no Malaysian is left behind’ dalam perlindungan keselamatan sosial, di mana perkhidmatan rehabilitasi yang disediakan merentasi kepelbagaian etnik dalam masyarakat di Sarawak.
“Kerjasama ini juga bertepatan dengan peranan PERKESO dalam menyediakan perkhidmatan rehabilitasi secara holistik untuk memberi sinar baharu dan kehidupan yang lebih baik bagi pekerja yang cedera atau menghidap penyakit, menerusi pengurusan upaya yang menyeluruh dan dinamik,” katanya.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, dengan kerjasama ini pencarum PERKESO berpeluang menjalani rawatan rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi UNIMAS dengan selesa, selain lokasinya berhampiran dengan Kuching dan Serian.
“Kerjasama ini juga dilihat saling berkaitan melengkapi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak, mendatangkan manfaat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Dengan kerjasama rakan strategik seumpama ini, PERKESO dan UNIMAS dapat memperluaskan lagi penyampaian perkhidmatannya menerusi bidang kepakaran masing-masing demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN