
KUCHING: Pusat Kebudayaan dan Pendidikan San Seng Tong yang siap dibina bernilai kira-kira RM20 juta disifatkan sebagai satu pencapaian penting bagi pendidikan, kebudayaan dan pembangunan komuniti di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan bahawa objektif utama penubuhan pusat berkenaan adalah untuk mendidik generasi muda bukan sahaja melalui ajaran Buddha, malah melalui penerapan nilai sejagat yang boleh dikongsi bersama masyarakat selaras dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan Sarawak yang inklusif dan harmoni.
“Pusat ini diwujudkan dengan penekanan kepada pendidikan. Ia bukan hanya berkaitan ajaran agama, tetapi juga pembentukan nilai yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pusat Kebudayaan dan Pendidikan San Seng Tong di sini, hari ini.

Dr Sim menambah pusat berkenaan melalui perjalanan pembinaan yang mencabar sejak penyediaan tapak bermula pada 2017 dan berjaya disempurnakan hasil sokongan pelbagai pihak.
“Bagi saya, hari ini merupakan satu keberkatan, namun pada masa yang sama ia juga satu detik yang menyentuh perasaan kerana ibu saya tidak sempat menyaksikan pembukaan pusat ini,” tambah beliau.
Antara tarikan utama pusat itu ialah ukiran batu jed berskala besar yang memaparkan doa Buddha Jing Kang Jing serta simbol dua kucing Kuching berwarna hitam dan putih, menjadikannya unik dari segi seni dan budaya.
Menurut beliau, ukiran berkenaan bukan sahaja bernilai dari segi bahan dan ketukangan, malah diharapkan kebijaksanaan yang terkandung di dalamnya dapat terus memberi inspirasi serta menyumbang kepada keharmonian dan pembangunan Sarawak.
Dr Sim berkata Pusat Kebudayaan dan Pendidikan San Seng Tong terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan bukan terhad kepada tujuan keagamaan semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai ruang pembelajaran, apresiasi budaya dan interaksi sosial.
Dalam pada itu, Dr Sim merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas sokongan yang diberikan terhadap pembinaan pusat berkenaan, dengan peruntukan kira-kira RM4.4 juta daripada kos keseluruhan projek.
Beliau yakin pusat berkenaan akan berkembang sebagai pusat kebudayaan dan pendidikan yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat pelbagai peringkat usia.
Oleh Adele Rissa