
PETRA JAYA: Inisiatif Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) bukan untuk menggalakkan pembuangan bayi daripada ibu bapa yang tidak mampu menjaga, sebaliknya untuk memastikan keselamatan bayi agar tidak dibuang di merata tempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ‘baby hatch’ akan menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa serta memberi peluang kepada ibu bayi berkenaan untuk memulakan kehidupan baharu.
“Baby hatch sebenarnya bukanlah untuk menggalakkan kehamilan luar nikah, sebaliknya diwujudkan sebagai satu tempat yang selamat agar bayi tidak dibuang di lokasi-lokasi berbahaya, seperti dalam tong sampah atau di tandas, sebagaimana yang pernah berlaku dalam beberapa kes.
“Apa yang kita mahu menyelamat nyawa iaitu yang pertama, nyawa bayi yang tidak berdosa serta yang kedua adalah, nyawa ibu agar dia boleh memulakan kehidupan baharu.
“Tugas kita bukan menghukum tetapi menjadi peranan kita.
“Inilah sebenarnya tujuan ‘baby hatch’, bukan untuk menggalakkan kes pembuangan bayi tetapi untuk menyelamatkan,” katanya pada sesi sidang media Mesyuarat Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Dato Sri Fatimah turut menggesa agar ibu kepada bayi yang ditinggalkan di ‘baby hatch’ Borneo Medical Centre (BMC) pada 15 Jun lepas agar tampil untuk menentukan kewarganegaraan bayi tersebut tanpa melalui permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A.
Jelasnya, tempoh satu bulan diberikan kepada ibu bapa bayi tersebut agar memberi maklumat bagi memudahkan pemprosesan maklumat bayi tersebut sama ada diangkatkan ke keluarga baharu.
“Kerahsiaan adalah dijamin dan perkara ini turut dimasukkan dalam iklan kerana ia bertujuan untuk membolehkan bayi ini memperoleh kewarganegaraan tanpa perlu melalui proses di bawah Perkara 15A, serta memperoleh dokumen kelahiran berstatus ‘K’ iaitu kewarganegaraan di bawah Sarawak,” jelasnya.
Tambah beliau, sekiranya tempoh satu bulan telah tamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching akan memohon proses kewarganegaraan tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.
Ujarnya, bayi tersebut yang turut diangkat akan diletakkan mengikut kewarganegaraan ibu bapa yang mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan Ya Hua serta ketua-ketua jabatan. -UKAS