
KABONG: Kewujudan kemudahan seperti pusat penjaja dilihat memainkan peranan penting dalam membuka peluang kepada masyarakat untuk menjana ekonomi melalui aktiviti perniagaan kecil, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kemudahan yang disediakan di Pusat Penjaja Kabong bukan sahaja memberi ruang kepada peniaga tempatan berniaga, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian ketika bersama isteri beliau, Datin Meryani Yassin menghadiri Majlis Berambeh Berami Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Pusat Penjaja Kabong, hari ini.
Menurut Chee Kadir, pusat penjaja berfungsi sebagai platform penting bagi usahawan kecil dan sederhana, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan untuk menjana pendapatan secara konsisten.
“Dengan ada kemudahan seperti ini, masyarakat dapat memanfaatkan peluang untuk berniaga, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan memperkukuh ekonomi keluarga,” katanya.
Majlis yang berlangsung meriah itu menyaksikan penyertaan 19 reruai yang menawarkan pelbagai juadah serta aktiviti menarik sempena sambutan Aidilfitri bersama masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Chee Kadir turut menzahirkan rasa syukur kerana kemudahan di Pusat Penjaja Kabong semakin baik dari semasa ke semasa, termasuk bekalan air yang kini lebih stabil terutama ketika musim perayaan.
Tambah beliau, sektor nelayan dan pertanian masih menjadi nadi utama ekonomi di Kabong dan kerajaan akan terus memperkasa sektor tersebut melalui pelbagai bantuan dan inisiatif.
“Pembangunan yang dilaksanakan tidak akan bermakna tanpa perpaduan serta kerjasama semua pihak. Justeru, saya menyeru masyarakat agar terus berganding bahu demi kemajuan Kabong,” ujarnya.
Chee Kadir turut menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi simbol kekuatan komuniti apabila masyarakat dapat berkumpul dan berkongsi kegembiraan bersama.
Pada majlis tersebut, turut diadakan Pertandingan Ruai Tercantik dengan Ruai Ke-5 (KMKK Kumpulan 5) muncul johan dan membawa pulang wang tunai RM800, diikuti Ruai Ke-10 (Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong) sebagai naib johan dengan RM600, manakala tempat ketiga dimenangi Ruai Ke-9 (Guru SK Abang Leman Kabong) dengan RM400.

Reruai lain turut menerima hadiah saguhati sebanyak RM200 setiap satu sebagai penghargaan atas penyertaan dan usaha memeriahkan majlis.
Chee merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua yang terlibat, serta memaklumkan komitmen beliau untuk menyokong program kemasyarakatan termasuk membantu menampung sebahagian kos penganjuran.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin masyarakat, wakil jabatan, serta penduduk setempat yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah dan perpaduan.
Oleh Adi Safarman