
SIMUNJAN: Pusat Penjaja Pekan Simunjan yang baharu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dalam satu majlis yang berlangsung penuh meriah di pekan itu.
Menurut Rodiyah, kewujudan pusat penjaja baharu ini bukan sahaja memberi ruang lebih selesa kepada para peniaga kecil menjalankan perniagaan, malah mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
“Dengan adanya kemudahan ini, para penjaja dapat berniaga dengan lebih teratur dan terjamin. Ini sekali gus membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Tambah beliau lagi, pusat penjaja ini juga berpotensi menjadi salah satu tarikan baharu di Simunjan.


SEKITAR suasana di Pusat Penjaja Pekan Simunjan yang dirasmikan oleh Rodiyah Sapiee, hari ini.
“Kita percaya, lokasi baharu ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dari luar untuk datang, membeli dan merasai keunikan produk tempatan,” ujarnya.
Pusat penjaja itu menempatkan 26 meja jualan dengan penyertaan 38 penjaja tempatan yang menawarkan pelbagai jenis hasil jualan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan kering.
Salah seorang penjaja, Rosida dari Kampung Temiang Simunjan meluahkan rasa syukur kerana akhirnya memiliki tempat yang lebih selesa dan sah untuk berniaga.

“Sebelum ini saya berniaga di kaki lima, kalau hujan memang risau sebab tiada perlindungan. Kini, keadaan lebih baik dan teratur,” jelas ibu kepada dua anak itu.
Beliau turut menambah, kemudahan baharu ini bukan sahaja membantu penjaja kecil, malah berupaya menarik kedatangan pelancong.
“Dengan adanya pusat penjaja ini, saya yakin pendapatan kami juga boleh bertambah kerana pelanggan lebih mudah datang membeli,” ujarnya.
Turut hadir, ADUN Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Oleh Norman B