
KUCHING: Cadangan pembinaan sebuah Pusat Komuniti Satu Tingkat di Taman Hui Sing bakal menjadi mercu tanda baharu dalam menjayakan pelan induk ‘Ke Arah Bandar Sihat’ oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata pusat komuniti itu bukan sahaja akan menambah nilai kepada kawasan taman yang sedia popular, malah akan menjadi ruang interaktif yang sihat dan inklusif untuk semua peringkat umur.
“Kita mahu mewujudkan ruang yang selamat, mesra komuniti dan berfungsi bukan sekadar tempat beriadah tetapi juga ruang pembelajaran, kesihatan dan pembangunan sosial,” katanya ketika ditemui di tapak cadangan, hari ini.
Menurut beliau, projek tersebut hanya melibatkan 2.5 peratus daripada keseluruhan kawasan taman dan tidak akan menjejaskan laluan joging, sebaliknya akan ditambah baik selepas siap kelak.
“Semasa PKP, taman seperti ini jadi ruang terapi komuniti. Dari situ, kita belajar pentingnya penyediaan kemudahan awam yang lestari dan adaptif,” tambahnya.
Pengarah Rekabentuk PDC Design Group Sdn Bhd dan INTODESIGN Lab, Tay Tze Yong memaklumkan bahawa reka bentuk bangunan mengutamakan prinsip mesra alam dan mesra komuniti, termasuk mengekalkan pokok sedia ada.
“Hanya satu pokok palma kecil akan dikorbankan. Pokok besar dimasukkan dalam reka bentuk courtyard, agar kehijauan taman terus dipelihara,” katanya.
Bangunan itu bakal menempatkan perpustakaan komuniti berhawa dingin, ruang rehat separa terbuka untuk warga emas, ruang permainan ping pong fleksibel, tapak bengkel digital seperti AI,
Selain itu, turut menyediakan ruang senaman berteduh lengkap dengan lampu, soket dan jubin serta stor logistik, pondok pengawal dan tandas awam dinaik taraf.
Kemudahan ini turut mesra OKU dan warga emas, selaras dengan pelan menjadikan Kuching ‘Bandar Mesra Kanak-Kanak & Warga Tua’ menjelang 2027.
Tay turut menegaskan bahawa kawasan itu akan dilengkapi lampu pencahayaan terang dan CCTV bagi keselamatan awam, membolehkan taman digunakan hampir 24 jam tanpa mengira cuaca.
“Bangunan ini direka untuk semua dari anak kecil hingga warga emas. Kami mahu ia benar-benar menjadi milik komuniti,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Dato Wee menggesa agar komuniti setempat berganding bahu menyokong visi ini:
“Kerajaan tidak boleh buat sendiri. Kita perlukan sokongan semua persatuan penduduk, NGO, ibu bapa, anak muda kerana pusat ini bukan untuk MBKS, tetapi untuk rakyat,” tegasnya.
Oleh Shikin Mahmud