
SARATOK: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Daerah Saratok bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membantu seorang pemilik rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tanjung Hulu, di sini.
Usaha itu dimaklumkan oleh ADUN Kalaka, Mohamad Duri, susulan lawatan tapak yang diketuai Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka, bersama Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid serta rombongan.
Lawatan tersebut diadakan selepas menerima maklumat daripada Ketua Kampung Tanjung Hulu, Ahmad Samaon, mengenai keadaan rumah PPRT yang memerlukan perhatian segera.

Hasil tinjauan, Pegawai Daerah Saratok mengenal pasti beberapa bentuk bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada pemilik rumah tersebut, manakala Pusat Khidmat ADUN Kalaka akan menumpukan usaha membaiki bahagian jeti yang rosak bagi memastikan keselamatan dan kemudahan penduduk terjamin.
Mohamad Duri merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Saratok atas komitmen berterusan dalam membantu masyarakat berbilang kaum di daerah itu.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Daerah Saratok kerana sering memberikan bantuan kepada masyarakat berbilang bangsa di daerah ini.
“Diharapkan kerjasama erat ini terus diperkukuh dalam usaha memenuhi harapan bersama memajukan Daerah Saratok,” katanya.
Oleh Adi Safarman