
KUCHING: Isu pembangunan Pusat Kanser Sarawak akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bagi memastikan pusat rawatan itu dirancang berdasarkan keperluan sebenar pengguna akhir.
“Kita mahu memastikan perkhidmatan yang bakal disediakan benar-benar relevan, berkesan dan menepati keperluan pesakit di Sarawak.
“Perkara ini telah dimuktamadkan semuanya kerana kita akan membina sebuah hospital maka anda perlu tanya kepada pengguna akhir apakah perkara yang mereka mahu perlukan.

“Untuk jumlah katil, saya telah nyatakan dalam mesyuarat pada bulan April lalu, kerana pakar Sarawak dan Hospital Umum Sarawak (HUS) mencadangkan 310 katil, saya tetap berpegang kepada itu, saya sangat menyokong mereka kerana 200 katil tidak mencukupi,” ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Batu Kawa, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak memaklumkan bahawa perbincangan berkaitan sektor kesihatan pada 11 Ogos ini akan disusuli dengan mesyuarat penyelarasan Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dijadualkan pada 18 Ogos.
Difahamkan, mesyuarat pada 18 Ogos ini nanti akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof manakala hasil perbincangan tersebut kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat akhir yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim. – UKAS