MIRI: Sebuah pusat hiburan di Jalan South Yu Seng di sini diserbu polis selepas didapati masih beroperasi walaupun tempoh operasi yang dibenarkan sudah tamat.
Serbuan kira-kira 8.15 pagi semalam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selepas pemerhatian mendapati premis berkenaan dipercayai beroperasi melebihi had masa ditetapkan iaitu sehingga 2.30 pagi.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan di dalam premis mendapati sebuah bilik masih memainkan muzik dengan kuat ketika serbuan dilakukan.
Polis Daerah menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata, dalam operasi itu, polis menahan tiga lelaki terdiri daripada seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai penjaga kaunter serta dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.
“Polis turut merampas satu unit anak kunci premis, sebuah dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan sekeping Lesen Hiburan Awam untuk membantu siasatan.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari sehingga 10 Ogos ini,” menurut kenyataan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.
Oleh Liong Chai Ling





