
BINTULU: Pusat Falak Bintulu diyakini mampu menjadi pusat unggul ilmu falak, penyelidikan sains angkasa dan destinasi astro-pelancongan yang bertaraf antarabangsa.
Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin berkata, penubuhan pusat itu akan memperkukuh peranan negeri ini sebagai peneraju dalam bidang astronomi Islam di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, pusat yang dilengkapi peralatan optik moden itu dapat melaksanakan cerapan hilal, bulan, matahari, planet, bintang, buruj, nebula serta fenomena langit lain dengan ketepatan yang tinggi.
“Fungsi pusat ini bukan sahaja untuk penentuan awal bulan Islam seperti Ramadan dan Syawal, malah meliputi penyelidikan, pendidikan, latihan serta peluang inovasi dalam bidang sains astronomi,” katanya pada majlis perasmian Pusat Falak Bintulu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
Datu Haji Kipli menjelaskan, pembinaan pusat itu bermula dengan reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berdasarkan cadangan konsep daripada Jabatan Mufti Sarawak.

Lokasinya dipilih di tapak asal Stesen Rukyah Hilal Bintulu yang terbukti strategik untuk aktiviti cerapan.
Bangunan Pusat Falak Bintulu siap pada 2022 dan diserahkan secara rasmi pada 22 Mac 2023.
Sejak itu, ia telah dirancang untuk menjadi pusat sehenti bagi aktiviti rukyah hilal, kursus asas falak, ceramah kesedaran astronomi serta penganjuran program terbuka kepada masyarakat.
Beliau berkata, pengalaman Pusat Falak Miri sebelum ini membuktikan keberkesanan pusat seumpama itu dalam menarik penglibatan masyarakat.
Rekod menunjukkan lebih 4,700 pengunjung telah mengambil bahagian dalam program falak di Sarawak sejak 2021 hingga Julai 2025.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada kerajaan negeri amat penting untuk memastikan pusat ini berkembang seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan modal insan, teknologi dan kelestarian ilmu.
“Harapan kami adalah untuk menjadikan Pusat Falak Bintulu sebagai simbol kemajuan ilmu falak yang menggabungkan keperluan agama dan kepakaran sains, sekali gus meletakkan Sarawak di peta dunia dalam bidang astronomi,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Menteri di Jabatan Premier Dato Sri John Sikie Tayai dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Oleh Carolyne Utih