Pusat Ekonomi Wanita Samariang pacu sosioekonomi wanita

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang, hari ini.

SAMARIANG: Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang yang dibangunkan menerusi peruntukan RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) kini boleh dimanfaatkan golongan wanita bagi memperkukuh sosioekonomi keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kemudahan berkenaan disediakan sebagai ruang selesa dan kondusif untuk wanita berkumpul, berbincang serta melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, fokus utama pusat berkenaan adalah menyediakan ruang yang dapat membantu golongan wanita meningkatkan sosioekonomi dan pendapatan isi rumah.

DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi menyempurnakan perasmian Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang, hari ini.

“Semoga Pusat Komuniti Wanita ini terus berkembang maju seperti yang dihajatkan dan seterusnya memberi manfaat kepada semua masyarakat di Bandar Baru Samariang serta kawasan sekitarnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pembangunan kemudahan masyarakat di kawasan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan penduduk dan ketersediaan tapak.

Katanya, pembangunan sebelum ini merangkumi gelanggang sukan serta kemudahan awam asas, diikuti Dewan Serbaguna dan kini Pusat Ekonomi Wanita.

DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi merasmikan Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang yang menyediakan ruang untuk golongan wanita memperkukuh sosioekonomi keluarga.

“Selepas ini kita juga mempunyai perancangan untuk membina Kompleks Sukan Samariang yang akan merangkumi pelbagai kemudahan sukan seperti gelanggang petanque dan fasiliti rekreasi lain,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat setempat, manakala pengurusan dan penyelenggaraan pusat berkenaan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jawatankuasa wanita tempatan.

Menurutnya, sekiranya kemudahan berkenaan disewakan kepada pihak luar, keutamaan perlu diberikan kepada penduduk setempat dengan kadar sewaan yang munasabah bagi menampung kos penyelenggaraan.

DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi merakam kenangan bersama JKKK, Jawatankuasa Pusat Ekonomi Wanita (PKW) dan penduduk Bandar Baru Samariang selepas majlis perasmian Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menekankan kepentingan keharmonian dan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk Bandar Samariang yang menurutnya menjadi antara faktor penting dalam memudahkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

Katanya, perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum perlu dikekalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Nilai keharmonian dan semangat kejiranan yang tinggi ini perlu diteruskan supaya dapat menjadi contoh serta iktibar kepada masyarakat di kawasan lain,” katanya.

Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang merupakan kemudahan komuniti seumpama pusat yang telah dibangunkan di Kampung Sultan Tengah sebelum ini, dengan matlamat memperluas manfaat pembangunan kepada golongan wanita di kawasan berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isterinya, Siti, serta anak keduanya, Sharifah Tifi, yang kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di RMIT University, Melbourne, Australia.

Oleh Shikin Mahmud

Jerebu: Serian, Lundu catat IPU 189

KUCHING: IPD Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 189 setakat 12.00 tengah hari ini, turun