TUMPUAN … Datu Hashim Bojet berucap pada Majlis Pelancaran Hari Integriti Dan Inovasi Dan Perhimpunan Perdana Pusaka 2022 bertempat di Wisma Sumbar Alam, Petrajaya di Kuching, semalam.• Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah melaksanakan pelbagai program untuk pengukuhan integriti selaras dengan keperluan pekeliling-pekeliling kerajaan negeri sejak penubuhan Bahagian Integriti pada 2 Disember 2019.
Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet memberitahu, antaranya adalah program jerayawara kesedaran nilai integriti kepada semua warga PUSAKA dan juga anak- anak syarikatnya.
“Dalam pada itu, PUSAKA juga telah menghantar dua orang pegawainya untuk dilatih sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CelO).
“Program pengukuhan integriti ini juga dipanjangkan ke anak-anak syarikatnya melalui program model integriti PUSAKA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Inovasi dan Perhimpunan Perdana PUSAKA 2022 di Dewan Seminar PUSAKA, Wisma Sumber Alam, semalam. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mengulas lanjut, Hashim memberitahu, PUSAKA juga telah mendokumentasikan polisi Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).
“Sebagai inisiatif dalam penerapan nilai integriti dan membendung gejala rasuah, PUSAKA juga telah mengadakan polisi integriti korporat dan menguatkuasakan polisi ‘Integriti Pact’ dalam semua urusan perolehan yang dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam penerapan nilai integriti pula, polisi yang dalam proses untuk dilaksanakan adalah polisi Pemberi Maklumat atau ‘Whistleblower Policy’ dan ‘Gift Policy’. Ini adalah kerana pihak Unit Integriti dan Ombudsman Negeri akan mengeluarkan polisi yang standard untuk digunapakai oleh semua agensi-agensi kerajaan.
“Sebagai usaha untuk memantapkan lagi pelaksanaan integriti di PUSAKA, PUSAKA juga akan melaksanakan Anti Bribery Management System (ABMS).
“Justeru itu, pada tahun ini, PUSAKA telah mengadakan taklimat kesedaran ABMS kepada semua warga PUSAKA,” jelasnya.
Jawatankuasa Antirasuah atau JAR peringkat kementerian dan PUSAKA juga turut dibentuk bagi menyediakan platform untuk membolehkan isu-isu khusus berkaitan integriti dan pencegahan rasuah ditangani dengan segera.
Sambutan Hari Integriti PUSAKA 2021 kali ini sangat bermakna kerana walaupun dalam cabaran pandemik Covid-19, pelbagai pencapaian telah dicapai oleh PUSAKA seperti Anugerah Harapan dari Unit Integriti dan Ombudsman, Pencapaian OACP keseluruhan sebanyak 71 peratus, Pencapaian CRM keseluruhan sebanyak 69 peratus, pertauliahan dua orang pegawai integriti bertauliah dan penubuhan Unit Intergriti di dua buah anak syarikat PUSAKA.
Selain itu, pelaksanaan dua polisi daripada empat polisi untuk membendung gejala rasuah, peningkatan kesedaran melalui survei sebanyak 95 peratus ke atas program integriti yang dilaksanakan dan pengwujudan tiga Manual Prosedur Kerja(MPK)/SOP baru.
“Saya ingin mengambil kesempatan sempena sambutan hari integriti ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada pengurusan tertinggi dan barisan pemimpin PUSAKA yang pada hemat saya telah menunjukkan nilai integriti dan contoh teladan yang amat baik dalam menjalankan tugas,” katanya.
PUSAKA juga telah mengadakan inisiatif untuk menambahbaik keadaan kewangan PUSAKA melalui pelaksanaan ‘STIDC Turnaround Plan’.
‘STIDC Turnaround Plan’ ini akan memfokuskan usaha dalam meningkatkan penjanaan hasil kewangan, ‘monetised asset’, penambahbaikkan hasil pulangan pelaburan dan mendapatkan geran untuk menampung kos operasi dalam menjalankan fungsi PUSAKA sebagai pegawal selia dan fasilitator dalam industri perkayuan.
Oleh NUR AIN OTSMAN