
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah menerima kunjungan hormat daripada Fakulti Perhutanan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membincangkan kerjasama strategik dalam memulihara, dan menguruskan sumber hutan Sarawak secara lestari.
Usaha ini bertujuan memastikan kelestarian sumber hutan di negeri ini dengan memberi fokus kepada pengurusan hutan yang bertanggungjawab serta perlindungan biodiversiti.
Ketua Projek Pelan Induk Hutan Simpan Kekal Sarawak, Dr. Shazali Johari, menekankan bahawa penyelidikan dan inovasi dalam pengurusan hutan memainkan peranan utama dalam merangka strategi yang berkesan bagi pemuliharaan alam sekitar.
“Projek ini diharap dapat mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keperluan untuk menjaga ekosistem, selain mencipta peluang pekerjaan bagi komuniti setempat,” katanya ketika menghadiri kunjungan hormat tersebut, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah, menggariskan bahawa kerjasama ini adalah langkah penting dalam mencapai matlamat pengurusan hutan yang lestari dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Kerjasama antara PUSAKA dan UPM diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan dalam memastikan pengurusan hutan Sarawak dilakukan secara lestari untuk manfaat generasi akan datang.