TANJUNG MANIS: Lebih banyak pelaburan berunsurkan pertanian dan pemprosesan makanan diberikan penekanan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).
Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet berkata, ia berikutan kejayaan projek penanaman nanas secara besar-besaran yang sedang giat dilaksanakan di Tanjung Manis.
“PUSAKA melalui anak syarikat PUSAKA Capital Sdn Bhd juga akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
“Kerjasama ini adalah bagi mewujudkan industri pengeluaran produk berasaskan nanas pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program larian dan pertandingan memancing sempena Hari Tanjung Manis 2023 di Pantai Belawai, kelmarin.
Dalam pada itu, katanya, selaras dengan mandat besar dari Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, PUSAKA lebih bersepadu ke arah memperkasakan lagi pembangunan di kawasan Tanjung Manis.
“PUSAKA telah mendapat infrastruktur baharu dari kerajaan Sarawak dan Persekutuan bagi menjayakan agenda pembangunan ini.
“Di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kita menekankan kepada industri berasaskan perabot.
“Kita akan membangunkan ‘furniture farm’ dan selain itu, kita membuat satu lagi kawasan perkapalan di Paloh nanti yang melibatkan seribu ekar kawasan perindustrian,” katanya.
Beliau berkata, PUSAKA turut diberi mandat oleh kerajaan Sarawak untuk membangun dan membesarkan lapangan terbang Tanjung Manis.
Katanya, ia merupakan satu pendekatan penting bagi menyediakan infrastruktur lebih lengkap dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke kawasan Tanjung Manis.
“Di mana nanti, kita boleh menerima pendaratan kapal terbang yang lebih besar untuk tujuan akses eksport ke luar negara terus daripada Tanjung Manis, selain membawa pelancong dari luar negara secara terus ke Tanjung Manis.
“Tanjung Manis berpotensi besar sebagai destinasi ekopelancongan dimana Belawai akan menjadi kawasan pelancongan dan kita mempunyai kemudahan yang sangat baik pada masa ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pihaknya sedang membincang bersama beberapa pelabur asing untuk membangun projek-projek berasaskan makanan dan ternakan di Tanjung Manis.
“Jadi, saya berharap dengan sokongan yang telah diberikan oleh kerajaan Sarawak melalui kepemimpinan Premier Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen kita, Tanjung Manis akan menjadi hab ekonomi di Wilayah Tengah yang sangat penting,” katanya.
Oleh EARL ANEK