
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini menganjurkan Kejohanan Ping Pong sempena Sukan MAKSAK Sarawak bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam.
Kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Hii Chang Kee yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Menurut penganjur, kejohanan ini merupakan salah satu inisiatif MAKSAK Sarawak bagi mengeratkan hubungan serta semangat perpaduan antara penjawat awam menerusi penyertaan aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Selain menonjolkan keupayaan atletik, ia turut menyemai budaya hidup sihat dan aktif dalam sektor perkhidmatan awam.
Penyertaan konsisten dalam sukan terbukti mampu meningkatkan kecergasan fizikal, kesejahteraan mental serta disiplin diri dan ciri-ciri penting yang menyumbang kepada produktiviti kerja dan mutu penyampaian perkhidmatan.
Penganjuran kejohanan ini turut mencerminkan komitmen MBKS dalam menyokong usaha memperkasa kesejahteraan penjawat awam, selaras dengan nilai teras ‘Berkhidmat untuk Masyarakat.’
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, Setiausaha Kehormat MAKSAK, Semawi Mohamad dan Setiausaha Bandaraya MBKS, Ita Ling.