
PADAWAN: Terletak di Kampung Biya Jaber, Kota Padawan, Puncak Tajur Rambung, kini menjadi destinasi pendakian pilihan baharu yang semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan pencinta alam semula jadi dan aktiviti lasak.
Menawarkan trek berkategori cabaran sederhana, laluan ke puncak ini bukan sahaja sesuai untuk semua peringkat umur, malah menyajikan pemandangan semula jadi yang memukau, menjadikannya antara lokasi wajib dikunjungi di Sarawak.
Perjalanan ke Kampung Biya Jaber dari Kuching hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Lokasinya yang strategik di tepi jalan utama membolehkan pengunjung menavigasi ke kampung ini menggunakan aplikasi Waze.
Bagaimanapun, setibanya di simpang masuk, kenderaan perlu ditinggalkan di kawasan parkir kerana kampung ini tidak mempunyai jaringan jalan raya.
Pengunjung perlu meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki selama 30 minit merentasi jambatan gantung yang menjadi penghubung utama ke kampung.


Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Biya Jaber, Agnesis Cany Kuma menjelaskan aktiviti pendakian di Tajur Rambung mula diperkenalkan sejak Januari 2023.
Kemudahan infrastruktur kini katanya berada pada fasa ketiga dan telah dirasmikan pada 31 Ogos lalu.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil telah menyumbang dana sebanyak RM30,000 bagi fasa pertama pembangunan trek pendakian ini. Laporan penuh mengenai perkembangan projek telah dibentangkan kepada beliau pada Mei 2024.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sambutan daripada pengunjung amat memberangsangkan.
Dari bulan Jun hingga awal September 2025 sahaja, Puncak Tajur Rambung telah menerima kunjungan sekitar 4,298 pelawat, sekali gus membuktikan potensinya sebagai salah satu destinasi ekopelancongan yang semakin berkembang di kawasan Padawan.
Salah satu keunikan pendakian di Puncak Tajur Rambung ialah waktu pendakian yang menjadi pilihan pengunjung, seawal jam 4 pagi.
Ramai pelawat memilih untuk mendaki sebelum subuh bagi menikmati fenomena pemandangan ‘awan karpet’ yang menakjubkan, di samping udara pagi yang sejuk dan menyegarkan.
Trek pendakian sejauh kira-kira enam kilometer ini bermula dengan laluan kampung sejauh satu kilometer yang santai, membolehkan pengunjung menyaksikan gaya hidup kampung yang masih terpelihara.
Penduduk kampung turut menjual makanan ringan seperti kuih-muih dan roti kepada para pendaki yang belum sempat bersarapan.

Perjalanan dari Kampung Biya Jaber ke puncak Tajur Rambung biasanya mengambil masa sekitar 90 minit bagi pendaki yang berpengalaman.
Bagi pendaki baharu, masa mungkin lebih panjang bergantung kepada tahap kecergasan dan rentak perjalanan masing-masing. Laluan awal dikategorikan sebagai ‘relax’, namun semakin mencabar apabila menghampiri separuh perjalanan.
Namun begitu, segala kepenatan pasti hilang apabila tiba di puncak yang menawarkan pemandangan panorama yang luar biasa. Ia menjadi lokasi yang ideal untuk berehat, bergambar dan menghargai keindahan ciptaan Tuhan.
Bagi pendaki yang merancang untuk bermalam di puncak, beberapa kemudahan asas turut disediakan untuk menambah keselesaan mereka.
Antara kemudahan yang tersedia di kemuncak termasuk dua tong takungan air hujan yang boleh digunakan untuk tujuan asas seperti membasuh, dua buah tanju atau pelantar kayu yang berfungsi sebagai ruang rehat dan tempat memasang khemah.
Selain itu dua unit tandas yang bersih dan sebuah bilik stor yang menyimpan khemah serta peralatan memasak yang boleh digunakan oleh pengunjung.
Terdapat dua pilihan laluan untuk pendakian, sama ada menggunakan laluan pergi dan balik yang sama atau memilih laluan pusingan (loop) yang disyorkan kerana lebih menarik dan memberikan pengalaman menyeluruh kepada pendaki.
Caj yang dikenakan untuk mendaki adalah RM50 bagi setiap pasukan (maksimum 10 pendaki) atau RM10 seorang. Setiap kumpulan akan diiringi oleh pemandu pelawat berpengalaman yang juga merupakan penduduk tempatan Kampung Biya Jaber.

Mereka telah menjalani latihan khas yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil (PDK) Padawan, ini bagi memastikan keselamatan dan pengalaman terbaik sepanjang pendakian.
Menariknya, Puncak Tajur Rambung turut tersenarai sebagai salah satu tapak rekreasi dalam Sarawak Delta Geopark (SDGp), iaitu geopark pertama di Sarawak yang menggabungkan elemen geologi, biologi dan warisan budaya di Bahagian Kuching serta sebahagian Serian.
Dengan trek yang mesra untuk pendaki baharu, pemandangan semula jadi yang menakjubkan dan kemudahan asas yang semakin lengkap, Puncak Tajur Rambung wajar dimasukkan dalam senarai destinasi pendakian utama di Sarawak.
Ia bukan sahaja menawarkan pengalaman fizikal melalui aktiviti mendaki, malah turut membuka ruang untuk menghayati keindahan alam dan budaya komuniti tempatan.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan lawatan, pengunjung boleh menghubungi Ketua Kampung Biya Jaber, Ephesian Kutun di talian 019-888 0042.
Oleh Adi Safarman