KUCHING: Suatu ketika dahulu, Datuk Willie Mongin, Iana Akam dan Diog Dios adalah rakan seperjuangan di bawah satu parti, namun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov ini, mereka akan bertembung sesama sendiri sebagai calon bagi Parlimen Puncak Borneo, untuk memenangi hati rakyat dan memastikan kemenangan parti masing-masing.
Persaingan tiga penjuru antara Willie yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS-PBB), Iana bagi Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Diog untuk Pakatan Harapan (PH-PKR) di kerusi majoriti kaum Bidayuh itu menarik perhatian ramai ekoran dinamik politiknya dan pertandingan kali ini menyaksikan kesemua calon merupakan hasil ‘didikan’ dan keluaran PKR yang dikenali dengan agenda reformasinya.
Penyandang kerusi itu Willie, 47, yang kini bertanding atas tiket GPS dan Iana, 47, pernah menyertai PKR suatu ketika dahulu sebelum membawa haluan masing-masing ekoran ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 yang mengakibatkan kerajaan PH tumbang, manakala Diog, 55, daripada PKR sememangnya bersama PKR sejak 2018.
Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, berharap pengundi dapat menilai sendiri keikhlasannya sebagai wakil rakyat yang pernah memimpin kawasan majoriti Bidayuh itu, meskipun mengakui bertanggungjawab membawa kedua-dua lawannya itu menyertai PKR sebelum ini.
Katanya beliau melihat cabaran pertarungan ‘bekas rakan sepasukan’ di Puncak Borneo pada pilihan raya ini sebagai bukti amalan demokrasi yang sihat.
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR dengan majoriti 4,005 undi sebelum menyertai Bersatu pada 2020, dan kemudiannya diterima sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu tonggak utama GPS, pada Ogos lepas.
Sementara itu, bekas rakan seperjuangan yang juga lawan Willie bagi kerusi panas Bidayuh itu, Iana berkata beliau mula menceburi arena politik dengan menjadi ahli PKR sejak 1999.
“Setelah itu (Langkah Sheraton), saya menyertai PSB bersama Baru Bian (calon PSB Parlimen Lawas) dan See Chee How (ADUN Batu Lintang). Saya keluar (PKR) sama (waktu) dengan Willie dan masuk PKR pun bersama-sama dengannya.
“Apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang kami terus berpecah, tetapi saya tetap menjadi pembangkang dan mahu mengekalkan dengan perjuangan dahulu, iaitu menubuhkan kerajaan baharu yang bukan bersama Barisan Nasional (BN) ataupun GPS,” katanya.
Sebagai calon wanita Bidayuh pertama dipertaruhkan menjadi wakil rakyat parlimen berkenaan, Iana yang merupakan bekas guru dan ahli perniagaan itu berkata antara isu yang akan diketengahkan sebagai calon untuk kerusi Puncak Borneo termasuk berkaitan infrastruktur kawasan, peluang pekerjaan kepada anak muda dan pemerkasaan wanita.
Semasa Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak Disember lepas, ibu kepada tiga orang anak itu bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Serembu atas tiket PSB, namun tewas kepada calon GPS Miro Simuh.
Sementara itu Diog yang juga Bendahari PH Sarawak berkata, beliau tidak gentar untuk berdepan dengan kedua-dua lawannya walaupun tiada pengalaman bertanding sebagai calon.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai guru dan pensyarah sebelum berjinak-jinak dengan dunia politik pada 2016 berharap, persaingan yang sihat dapat ditonjolkan oleh setiap calon memandangkan masing-masing pernah berada di bawah ‘payung’ yang sama.
Katanya menerusi maklum balas yang diterima di peringkat persekutuan berikutan pelaksanaan Undi18 bermula tahun ini, beliau yakin PH mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan pada 19 Nov ini.
“Kita dapat maklumat di peringkat persekutuan, kita ada lebih kurang 78 peratus kemenangan, jadi kita mempunyai peluang yang cerah untuk menawan semula puncak Borneo dengan pelaksanaan Undi18,” katanya.
Parlimen Puncak Borneo atau P198 mula diperkenalkan pada PRU14 setelah persempadanan semula dan sebelum ini ia dikenali sebagai Parlimen Mambong.
Ia terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Mambong, Tarat dan Serembu
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada keseluruhan 1.94 juta pengundi di Sarawak, Parlimen Puncak Borneo mempunyai seramai 79,969 pengundi berdaftar dengan 50.76 peratus daripadanya adalah pengundi lelaki. — BERNAMA