
KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) telah mengurangkan kadar keuntungan pembiayaannya di bawah skim PROSPER GROW kepada 3.5 peratus setahun daripada 5.0 hingga 6.75 peratus sebelum ini untuk membantu usahawan Bumiputera menghadapi peningkatan kos operasi.
Kadar yang disemak itu akan berkuat kuasa untuk semua kelulusan pembiayaan mulai 1 Januari 2026 dan seterusnya termasuk pinjaman yang telah diluluskan tahun ini.
PUNB melalui satu kenyataan hari ini berkata langkah itu dijangka memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera, terutamanya mereka yang memerlukan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta untuk mengembangkan perniagaan dan mengekalkan operasi di tengah-tengah peningkatan kos input, logistik serta gangguan rantaian bekalan global yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata pelarasan itu mencerminkan campur tangan yang amat diperlukan dan tepat pada masanya untuk memastikan perusahaan Bumiputera terus berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
“Dalam ekonomi global yang tidak menentu, tekanan kos adalah realiti yang mesti diuruskan secara proaktif, pengurangan kepada 3.5 peratus adalah lebih daripada sekadar insentif kewangan kerana ia merupakan langkah penting ke arah memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan, berdaya saing dan berkemampuan untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu sejajar dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan usahawan mampu bertahan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global serta agenda kerajaan yang lebih meluas bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera yang inklusif dan mampan di bawah rangka kerja MADANI.
Pada masa yang sama, langkah itu adalah sejajar dengan Pelan Strategik R30 PUNB untuk 2026-2030, yang memberi tumpuan kepada memperkukuh, mempertingkat dan mengekalkan pembangunan keusahawanan Bumiputera.
PUNB berkata ia kini menawarkan tiga skim pembiayaan utama yang disesuaikan dengan peringkat pertumbuhan perniagaan yang berbeza, iaitu Prosper Grow, Prosper Great dan Prosper Impact/Nova.
Prosper Grow menyokong sektor peruncitan, pengedaran dan pembuatan dengan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk syarikat Sdn Bhd dan RM500,000 kepada pemilikan tunggal atau perkongsian, manakala Prosper Great menawarkan sehingga RM10 juta untuk syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.
Sementara itu, Prosper Impact/Nova menyediakan pembiayaan sehingga RM20 juta untuk projek dan kontrak berskala besar, termasuk perolehan kerajaan dan perkongsian strategik.
Usahawan yang berminat dengan skim pembiayaan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi PUNB, www.punb.com.my. – Bernama