AWANG KUSHAIRY JUNAIDI
LAWAS: Biarpun berniaga secara atas talian (e-Bazar) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena bulan Ramadan kali ini, namun pasangan adik-beradik Anisah dan Aishah, sudah bersedia serta yakin menerima banyak tempahan, termasuk untuk Aidilfitri nanti.
Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, lebih 2,000 biji pulut panggang pelbagai inti mampu dijual, manakala untuk Bazar Ramadan sekitar 1,000 biji sehari.
Bagaimanapun, tidak dinafikan berniaga pada bulan Ramadan dan Aidilfitri dalam tempoh PKP kini, mungkin memberi kesan dan menyebabkan jumlah tempahan pulut panggang tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya.
Ini kerana, menurut Anisah, apabila berniaga pada Bazar Ramadan, jumlah pengunjung adalah ramai dan suasananya amat meriah.
“Mereka termasuklah pelanggan bukan Islam yang datang lebih awal untuk membeli dan menikmati pelbagai juadah makanan kita, termasuk pulut panggang.
“Malah, ada juga dalam kalangan mereka yang datang dari Daerah Sindumin dan Sipitang, Sabah, semata-mata untuk membeli pulut panggang kami dalam jumlah yang banyak,” kata Anisah dan Aishah atau nama sebenar mereka, Nor Siti Anisah Mohd Zaini dan Dayang Siti Nor Aishah Mohd Zaini, semasa ditemui di Banting, Lawas, kelmarin.
Jika sebelum ini, pelanggan tetap dari Sabah membuat tempahan yang banyak, mereka akan berurusan berhampiran dengan sempadan Sindumin, Sabah / Merapok, Lawas.
Untuk pengetahuan, mereka sebenarnya bukan hanya berniaga juadah makanan ketika Ramadan dan Syawal sahaja, malah hampir setiap hari, sehingga membuatkan mereka dikenali ramai.
Ketika bulan Ramadan dan PKP ini, dalam sehari, Aishah berkata, sebanyak 10 kilogram beras pulut diperlukan dan mampu menghasilkan kira-kira 1,000 biji pulut panggang berintikan tahai, udang, daging, ayam, ikan bilis dan bubuk.
Katanya, permintaan dan tempahan untuk pulut panggang berintikan tahai dan udang amat menggalakkan dalam tempoh PKP ini.
Aishah menambah, mereka mengakui berniaga secara e-Bazar juga membolehkan mereka menyediakan pesanan pelanggan dengan lebih awal, lancar dan tepat.
“Untuk bulan puasa, kami menerima tempahan bermula jam 8 malam dan ditutup pada jam 1 petang,” jelas mereka yang berniaga ditemani ibu, Rokiah Abi, sebagai pemberi semangat.
Untuk tempahan e-Bazar, mereka membuat penghantaran secara percuma untuk pelanggan di kawasan Banting, Rancangan Kampung Banting (RKB), Bandar Lawas dan sekitarnya, manakala caj sebanyak RM2 untuk kawasan Melusok dan Belimbing.
Bagi pelanggan di kawasan Punang dan Kuala Lawas, caj penghataran tertentu juga akan dikenakan, namun ia bergantung kepada had jumlah tempahan.
Selain itu, pelanggan juga terdiri daripada penduduk dari daerah Limbang serta dari negara jiran, seperti Temburong, Negara Brunei Darussalam.
Mereka berharap, tempoh PKP menjelang Aidilfitri nanti, bukan menjadi halangan untuk mereka menerima jumlah tempahan yang banyak, seperti tahun-tahun sebelumnya.