
MIRI: Seorang lelaki di sini merayu isterinya yang hilang sejak beberapa hari lalu agar pulang ke pangkuan keluarga demi anak-anak yang amat merindui ibu mereka.
“Apa pun yang berlaku, saya cuma mahu isteri saya balik. Semuanya boleh dibincangkan, anak-anak sangat rindukan ibu mereka,” kata Ling Hung Yuk, 56, dengan nada sebak.
Isterinya, Yustina Eva, 39, warga Indonesia, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas keluar dari rumah sekitar 5.30 pagi untuk ke tempat kerja.
Menurut Ling, isterinya tidak hadir ke tempat kerja pada hari tersebut dan pakaian miliknya juga didapati tiada di rumah, menimbulkan syak bahawa wanita itu telah melarikan diri.
“Saya diberitahu rakan sekerja dia tidak datang kerja. Bila saya pulang ke rumah, saya dapati pakaian dia hilang. Saya percaya dia sengaja meninggalkan rumah,” katanya.
Pasangan itu telah berkahwin selama 17 tahun dan dikurniakan empat orang anak berusia 17, 14, 12 dan tujuh tahun.
Ling mengakui bahawa mereka berdepan sedikit perselisihan faham sejak dua bulan lalu, namun sebelum itu kehidupan mereka berjalan seperti biasa.
“Sejak dua bulan kebelakangan ini, kami ada sedikit salah faham hal rumah tangga, tapi tidak pernah terfikir dia akan tinggalkan rumah. Saya risau keselamatan dia, anak-anak pun asyik bertanya dan mencari ibu mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, pasport dan kad pengenalan merah milik isterinya masih berada di rumah, menyebabkan dia yakin wanita itu masih berada di Sarawak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Yustina diminta menghubungi Ling di talian 016-8713372.
“Pintu rumah sentiasa terbuka untukmu. Pulanglah, anak-anak tunggu ibu,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling