TANJUNG MANIS: Sebuah pukat keroncong disita dalam Operasi Bersepadu MARDOF Tanjung Manis 1/2026 yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Manis bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), baru-baru ini.
Operasi selama empat hari dari 15 hingga 18 Ogos itu melibatkan pemeriksaan di kawasan perairan Muara Lassa, Muara Paloh, Muara Rajang hingga perairan Sarikei.
Sebanyak 24 pemeriksaan dilaksanakan sepanjang operasi, selain satu amaran lisan dikeluarkan, manakala tiada kompaun atau tangkapan direkodkan.
Pengarah Maritim Zon Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, operasi bersepadu itu penting bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua agensi dalam memastikan aktiviti perikanan di perairan Sarawak mematuhi undang-undang ditetapkan.
Katanya, kerjasama berkenaan turut membolehkan agensi terlibat berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan aktiviti perikanan dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pematuhan Akta Perikanan 1985, selain memperkukuh koordinasi penguatkuasaan antara Maritim Malaysia dan JPLS.
Keseluruhan operasi berlangsung dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini dan semua anggota yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi bersama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti perikanan di perairan Sarawak dilaksanakan mengikut undang-undang, selain melindungi sumber perikanan dan kelestarian ekosistem marin.





