
KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan Iskandar Zulkarnain Zainuddin kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia selepas menerima tawaran sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Iskandar Zulkarnain, 34, mengakui faktor terbesar kepulangannya adalah hasil pujukan berterusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM Kenneth Jonassen yang tidak putus menghubunginya walaupun ketika itu beliau masih berkhidmat sebagai jurulatih di Ireland.
“Antara sebab utamanya ialah Jonassen. Beliau sendiri yang hubungi dan selalu maklumkan perkembangan terkini pada saya. Dari situ saya nampak kesungguhan beliau nak saya kembali. Saya sangat hargai perkara itu,” katanya ketika ditemui pada hari kedua bertugas di ABM di sini hari ini.
Mengenai perancangannya, Iskandar Zulkarnain berkata kem perseorangan wanita akan menjalani latihan intensif serta berintensiti tinggi bagi meningkatkan ketahanan serta kelajuan permainan.
Beliau berkata sebanyak 17 pemain terdiri daripada sembilan perseorangan wanita utama dan lapan pemain junior menjalani latihan di bawah bimbingan beliau, dengan penekakan terhadap skuad senior menjelang Sukan SEA di Thailand pada Disember ini, manakala pemain junior akan beraksi di Kejohanan Remaja Dunia minggu depan.
Pada Jun lepas, BAM mengumumkan pelantikan Iskandar Zulkarnain sebagai ketua jurulatiah perseorangan wanita berikutan pengalaman luas di peringkat antarabangsa serta kemampuan dalam membentuk pemain lebih berkualiti.
Naib juara Masters Malaysia 2016 itu pernah memegang jawatan Ketua Jurulatih Perseorangan Ireland dan berjaya menunjukkan peningkatan ketara terutama dengan kejayaan dua pemain perseorangan termasuk Nhat Nguyen layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. – Bernama