

HIDUP ini tidak terlepas daripada janji. Sejak kecil, kita sudah biasa mendengar janji. Janji seorang ibu bapa kepada anak, janji seorang kawan kepada kawannya, janji seorang pemimpin kepada rakyat, bahkan janji kita kepada Allah SWT. Namun, tidak semua janji itu ditunaikan.
Ada yang hanya sekadar kata manis di bibir sahaja. Ada yang penuh dengan puja dan puji, tetapi akhirnya kosong tanpa tindakan.
Artikel ini adalah peringatan agar kita jangan terlalu mudah berjanji. Jangan jadikan janji sebagai alat untuk mencari simpati atau mendapat sesuatu.
Sebaliknya, berusahalah dahulu, buktikan kemampuan dan serahkan pujian hanya kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Manusia & Janji: Antara Realiti dan Hakikat
Ramai manusia bila mahu sesuatu akan berjanji dengan kata-kata yang indah. Mereka melafazkan apa sahaja, malah sanggup memuja dan memuji untuk meyakinkan orang lain.
Tetapi, apakah nilai janji jika ia tidak mampu ditunaikan? Janji sebegini hanyalah debu yang berterbangan dibawa angin yang tiada makna, tiada harga.
Agama mengambil berat dalam hal ini. Islam mengingatkan kita bahawa janji adalah amanah. Dalam al-Quran, Allah berfirman: “…..dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah al-Isra’, ayat 34)
Janji bukan sekadar kata, tetapi tanggungjawab yang akan dipersoalkan. Jika kita mengabaikannya, kita bukan sahaja mengecewakan manusia, tetapi juga mengundang murka Allah. Itulah bahayanya janji yang tidak ditunaikan atau boleh dikatakan janji kosong.
Bahaya Janji Kosong
Janji kosong memberi kesan buruk yang besar. Ia merosakkan kepercayaan, meruntuhkan persahabatan, melemahkan masyarakat dan menodai maruah diri.
Banyak implikasi negatif atau tidak baik apabila janji tidak ditunaikan. Antaranya:
- Hilang Kepercayaan – Sekali kita mungkir janji, orang lain akan sukar mempercayai kita lagi.
- Merosakkan Perhubungan – Hubungan keluarga, persahabatan dan masyarakat runtuh kerana janji yang tidak ditepati.
- Membina Budaya Pura-pura – Bila janji kosong menjadi kebiasaan, ia melahirkan budaya hipokrasi.
Ingatlah bahawa lebih baik kita berkata “Saya tidak mampu” dengan jujur, daripada berjanji dengan penuh puja puji tetapi akhirnya gagal.
Sewajarnya kita berlaku adil kepada orang dan juga diri sendiri dengan berusaha lebih baik daripada berjanji.
Berusaha Lebih Baik Daripada Berjanji
Kita sering tergoda untuk membuat janji kerana ia nampak mudah. Tetapi sebenarnya, usaha lebih bermakna daripada janji. Kalau kita asyik berjanji ia hanya kata-kata.
Usaha sebenarnya adalah tindakan. Janji boleh hilang dalam sekelip mata. Usaha akan meninggalkan hasil dan dapat sebagai pembuktian.
Janji mungkin memujuk hati sementara namun usaha akan membina keyakinan yang berkekalan.
Orang yang berusaha mungkin gagal, tetapi dia tetap dihormati. Orang yang hanya berjanji tetapi tidak menunaikan, akan dipandang rendah.
Oleh itu, jangan berjanji dan didik diri untuk merasa rendah diri supaya kita akan mudah mendapat kerjasama dari orang lain.
Rendah Hati Dan Kerjasama
Ada kalanya kita tidak mampu menunaikan sesuatu janji kerana kekuatan kita terbatas.
Di sinilah pentingnya sifat rendah hati. Jangan bodoh sombong atau ego hingga sanggup berjanji perkara yang di luar kemampuan.
Sebaliknya, carilah kerjasama dan bantuan daripada orang lain. Inilah yang diajar oleh Islam.
Hidup ini bukan untuk berdiri sendiri, tetapi untuk saling menyokong. Rasulullah SAW sendiri membina masyarakat Madinah dengan semangat kerjasama, bukan dengan janji kosong.
Baginda menunjukkan usaha, keikhlasan dan kepimpinan yang tulen. Hanya kepada Allah SWT saja puja pujian Baginda. Sebagai insan, menjadi kewajipan kita untuk mencontohi Baginda.
Puja Pujian Hanya Untuk Allah SWT
Satu lagi kesilapan manusia ialah menggunakan puja puji untuk meyakinkan orang lain ketika berjanji.
Mereka memuji manusia berlebihan, sehingga seolah-olah mengangkat mereka melebihi kedudukan yang wajar.
Sedangkan, hakikatnya, puja puji hanya untuk Allah SWT. Dialah Pencipta, Pemilik segala yang ada.
Memuji manusia secara sederhana tidak salah, tetapi menjadikan pujian itu alat untuk janji kosong adalah satu kesilapan besar.
Cukuplah pujian yang melangit kita berikan hanya kepada Allah. Manusia perlu dipuji kerana kebaikan mereka, tetapi pujian itu tetap terhad dan tidak boleh mengaburi tanggungjawab sebenar.
Oleh sebab itu, Islam mengambil berat perihal tanggungjawab menunaikan janji.
Islam Dan Tanggungjawab
Menunaikan Janji Dalam Islam, janji yang tidak ditunaikan adalah satu dosa besar. Rasulullah SAW bersabda: “Tanda orang munafik ada tiga: apabila berkata, dia berdusta; apabila berjanji, dia mungkir; apabila diberi amanah, dia khianat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Hadis ini adalah peringatan tegas. Mungkir janji bukan sekadar kelemahan peribadi, tetapi tanda sifat munafik.
Maka, janganlah kita mengambil ringan dalam berjanji. Setiap janji adalah amanah yang akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Teruslah berusaha agar bila kita berjanji kita mampu menunaikannya.
Teguh Dengan Usaha, Jujur Dengan Janji
Perbincangan ini adalah peringatan kepada diri kita semua. Jangan mudah berjanji. Jangan jadikan janji sebagai alat untuk memuja dan memuji.
Jangan berselindung di sebalik kata manis, sedangkan hati tidak mampu melaksanakannya. Lebih baik kita berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Tunjukkan bukti melalui kerja dan tindakan. Jika tidak mampu, katakan dengan jujur. Jika perlukan pertolongan, rendahkan hati untuk meminta.
Dan ingatlah, puja puji hanya untuk Allah. Dialah yang layak dipuji, Dialah tempat kita bergantung dan Dialah yang memberi kekuatan untuk kita menunaikan janji.
Janji adalah amanah. Usaha adalah bukti. Jangan mudah berjanji dengan puja puji, sebaliknya berusahalah kerana janji palsu hanya membawa murka manusia dan kemurkaan Allah SWT.
Wallahu alam Bissawab