Oleh Dilah Tuah
REBECCA KAI DOTLICH (2001) dalam bukunya yang berjudul Lemonade Sun and Other Summer Poems pernah mengungkapkan bahawa sesebuah puisi yang baik perlu dihasilkan secara ringkas, padat dan segar. Manakala bagi Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh (2022) pula dalam Puisi: Pemikiran yang Paling Padat dan Merdu, menyatakan bahawa puisi ibarat pokok bonsai kehidupan. Saiznya kecil, tetapi padat dan mapan dengan keindahan yang sangat terjaga rapi. Kepadatan puisi lebih terserlah dengan kandungan kebijaksanaan dan ada makna hidup daripada pengalaman. Justeru, untuk menghasilkan sebuah puisi, penyair seolah-olah mencipta sebuah dunia baharu kepada pembaca. Perkara ini bertepatan dengan pandangan Naomi Shihab Nye (2000) dalam Come with Me: Poems for a Journey yang menjelaskan bahawa puisi yang baik mencipta dunia yang mampu menyentuh hati pembaca. Dunia itu dibina daripada imej-imej yang datang kepada pembaca melalui perincian deria yang jelas dan muzikal bahasa yang rancak.
Mengapa binaan sesebuah puisi perlu padat? Tidak seperti genre sastera yang lain, puisi harus disusun daripada kata-kata yang sedikit tetapi berupaya membentangkan banyak perkara kepada pembaca. Selain itu, pemilihan kata-kata yang tepat dan padat dapat menghindari penyair daripada menghasilkan puisi yang prosaik, polos serta sarat dengan bahasa harian. Kepadatan bahasa puisi turut disentuh oleh Laurence Perrine (1974) dalam Literature: Structure, Sound and Sense dengan mengatakan puisi sebagai bentuk sastera yang paling padat dan menyeluruh. Hal ini dikatakan sedemikian kerana bahasa puisi seharusnya mengatakan lebih banyak dan lebih intensif daripada apa-apa yang diperkatakan oleh bahasa harian. Ketepatan diksi tidak hanya merapikan bentuk puisi yang ekonomis sifatnya. Namun, di sisi yang lain ia bertujuan untuk menimbulkan nilai puitis yang berupaya membangkitkan perasaan, menarik perhatian serta menimbulkan tanggapan jelas.
Apakah tujuan pemadatan kata dalam puisi? Antara tujuan utama pemadatan kata adalah untuk memberikan kekuatan makna kepada sesebuah puisi. Justeru, kata-kata yang tidak berfungsi serta mubazir sifatnya, perlu digugurkan dalam susunan baris puisi. Hal ini penting kerana puisi yang prosaik dan polos akan menjejaskan nilai keindahan serta pemikiran yang hendak disampaikan oleh penyair. Perkara ini turut disentuh oleh Abizai (2019) dalam esei yang berjudul “Menukang Puisi Tidak Semudah Bermain Domino” dengan menegaskan bahawa puisi merupakan hasil kegiatan pemadatan, iaitu proses penciptaan dengan cara menangkap kesan-kesan lalu memadatkannya. Melalui proses pemadatan kata, kata-kata menjadi luas dalam menuju kesatuan makna dan akhirnya mampu mengapungkan keindahan dan kebenaran dalam baris-baris puisi.
Daripada perbincangan di atas dapat dirumuskan bahawa proses penciptaan puisi merupakan aktiviti pemadatan kata. Hal ini jelas kerana puisi tidak dapat menceritakan semua perkara dalam ruang yang terbatas. Pun begitu, puisi ialah penyataan perasaan, gagasan, pemikiran dan peristiwa. Sehubungan itu, untuk menimbulkan nilai estetik dalam sesebuah puisi, penyair perlu menyaring kata, frasa dan kalimat yang tepat supaya puisi menjadi mampat dan padat. Oleh itu, hal-hal yang tidak perlu mesti dihilangkan agar yang tinggal hanyalah inti yang mengandungi ekspresif intensif yang bermanfaat kepada khalayak pembaca. Sehubungan itu, dalam ulasan karya kali ini, fokus perbincangan akan menganalisis aspek pemadatan kata dalam tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada 28 April 2022. Puisi-puisi yang akan dibincangkan ialah “Mimpi” karya Alice Mohd, “Lelaki Tua dan Belon Helium” karya Stefanie Kaso dan “Naratif Ramadan”karya Adam Buck Lee.
Puisi “Mimpi” karya Alice Mohd merupakan sebuah luapan perasaan penyair tentang mimpi atau angan-angan. Kendatipun begitu, mimpi atau angan-angan yang ingin dicapai oleh penyair tidak dijelaskan sebaik mungkin di dalam baris puisi. Apakah penyair mahu menjadi penulis seperti yang dinukilkan pada baris “Aku tidaklah pandai menulis” atau mahu membebaskan perasaannya yang dirundung kekacauan? Atas sebab itu, makna puisi ini tidak dapat diterjah secara tepat oleh khalayak pembaca. Hal ini disebabkan oleh penyusunan idea yang tidak teratur dan kemas. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:
Aku cuba bernafas sebaiknya
Menjalani hidup biasa tetapi banyak penuh kekacauan
Orang tak penting seperti aku
Punya cita-cita yang tinggi terpendam
Angan kubentang
Mimpi kusandang
Bayangan cuba kusampaikan
Aku tidaklah pandai menulis
Luahan hati saja yang menjadi tulisanku
Puisi atau ekspresi?
Kedua-duanya bagiku adalah untuk mengubat hati
Biarlah aku duduk di tepi pantai mencari tenang
Daripada aku berdiri di tengah jalan yang sibuk
Cuba mencapai yang tidak tahu akan dapatkah? angan
(15) Tetapi, tidak bermakna aku akan hanya melihat, menelan air liur, berputih mata
Akan aku cuba realisasikan
Walaupun mungkin mengambil masa bertahun lamanya
Cukuplah aku dikenang seperti Buya Hamka
Dari segi bentuk, puisi ini agak longgar dan kata-kata yang dipilih tidak dipadatkan dengan sebaik-baiknya. Lihat pada baris kedua puisi ini, iaitu frasa “biasa tetapi banyak kekacauan” yang ditulis secara prosaik. Walhal baris tersebut masih dapat dipadatkan seperti berikut “menjalani hidup penuh kekacauan”. Hal yang sama juga berlaku pada baris-baris berikutnya seperti yang telah di garis tengah (strikethrough) dalam rangkap puisi di atas. Selain itu, harus disedari oleh penyair bahawa sepotong kata berupaya mendukung banyak makna. Sehubungan itu, pengulangan kata yang sama makna akan menjejaskan nilai estetika sesebuah puisi. Dalam puisi ini, ia dapat ditemui pada baris “angan kubentang” dan “mimpi kusandang” yang membawa maksud yang sama.
Di samping itu, puisi tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar tentang sesuatu perkara yang ingin disampaikan oleh penyair. Kelewahan tersebut dapat ditemui pada baris kelima belas puisi ini. Dicadangkan supaya baris tersebut digugurkan kerana tidak mendukung konsep puisi yang padanya terkandung unsur-unsur estetika atau keindahan. Sehubungan itu, dicadangkan agar penyair membaca puisi-puisi penyair mapan tanah air seperti Abizai, agar lebih memahami konsep kepadatan kata dalam ruang puisi yang terbatas.
Puisi kedua berjudul “Lelaki Tua dan Belon Helium” karya Stefanie Kaso yang tampil dalam dua rangkap yang sederhana. Dari sudut makna, puisi ini berkisar tentang perjuangan seorang lelaki tua yang ingin merealisasikan impian dan harapannya. Dalam konteks perlambangan makna, ‘belon’ sering kali dikaitkan dengan impian dan harapan. Di sisi yang lain, belon juga menjadi simbol kegembiraan dan suasana hati yang baik. Namun jika diperhatikan pada rangkap kedua baris pertama dan kedua, iaitu “Lalu sang angin bertiup kencang/ menumbangkan tubuh kecil lelaki tua itu”, simbol ‘belon’ di sini lebih mendekati makna impian dan harapan yang tidak kesampaian. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:
Seorang lelaki tua
duduk di padang lapang
menggenggam erat segumpal tali belon helium
sesaat pun tak pernah dilepaskan.
Lalu sang angin bertiup kencang
menumbangkan tubuh kecil lelaki tua itu
terlerai genggaman jari kerepot lemahnya
melepaskan lalu belon-belon helium terlepas
terbang tinggi ke udara.
Dari sudut bentuk, puisi ini sudah menampakkan kepadatan kata melalui pengolahan diksi yang baik. Selain itu, penyair juga telah mula berjinak dengan nada dan bunga bahasa seperti pada frasa “padang lapang” dan “sang angin bertiup kencang”. Pun begitu, terdapat beberapa ungkapan dalam puisi ini yang kurang ekonomis seperti “menggenggam erat segumpal” dan “jari kerepot lemahnya”. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kata ‘menggenggam’ yang bererti ‘cengkaman tangan’ sudah cukup untuk menjelaskan makna puisi ini tanpa perlu disusuli dengan kata ‘erat’. Begitu juga dengan kata ‘kerepot’ yang sudah memadai untuk menjelaskan makna tua, lemah dan tidak berdaya. Justeru, pengulangan makna pada baris yang sama, walaupun menggunakan kata yang berbeza, iaitu ‘lemahnya’, telah menjadikan puisi ini prosaik.
Selain itu, rangkap kedua puisi ini memerlukan sedikit pemurnian agar dapat memperlihatkan kesatuan antara kata-kata dan susunan diksi. Misalnya pada baris ketiga, iaitu “terlerai genggaman jari kerepot lemahnya”, yang perlu digugurkan kerana baris kedua sudah cukup untuk menjelaskan mengapa belon-belon helium terlepas ke udara. Cadangan pemurnian untuk rangkap kedua adalah seperti yang ditunjukkan di atas.
Puisi terakhir berjudul “Naratif Ramadan” karya Adam Buck Lee tampil dalam bentuk puisi prosa. Dalam kalangan penyair muda, bentuk puisi sebegini agak asing serta kurang dikenali. Walaupun begitu, puisi prosa telah wujud dalam banyak budaya di seluruh dunia. Di Jepun, prosa dalam puisi menjejaki akarnya sejak abad ke-17 (Mohamad Saleeh Rahamad, 2022). Dari sudut takrifan, puisi prosa ialah puisi yang ditulis dalam bentuk prosa dan bukannya bentuk ayat, sambil mengekalkan kualiti puitis seperti imejan yang tinggi, parataksis, dan kesan emosi (Britannica, The Editors of Encyclopedia, 2016). Menurut Kathleen Kuiper (2012) dalam Poetry and Drama: Literary Terms and Concepts, bentuk puisi prosa telah diperkenalkan ke dalam kesusasteraan Perancis pada tahun 1842 melalui karya Louis Bertrand yang berjudul Gaspard de la nuit (Gaspard of the Night). Bertitik tolak daripada karya tersebut, muncul 50 buah puisi prosa oleh Charles Baudelaire yang berjudul Petits Poèmes en Prose (Paris Spleen). Justeru, puisi prosa yang dinukilkan oleh Adam Buck Lee seperti di bawah, bukan sesuatu yang baharu dalam kesusasteraan dunia.
Menyelak helaian diarimu, getar emosi terarah pada kepekatan warna takwim. Hijau itu pilihan, lambang penyatuan seluruh hambamu. Tersimpan kisah yang mampu menyedar akan keberadaannya. Perlahan ia menyantun isi hati kepada sekalian pesuruh yang dahagakan kemaafan. Bulan sarat percambahan nilai murni. Seketika berkeluh pada diri, apakah kita seiring menggendong amalan suruhan dan tuntutannya? Tangan kanan diangkat dan diletak pada dada. Mengurut lembut dalam lafaz Astagfirullah. Demikian kita sebagai hambanya menunduk pada gerbang agung keberkatan. Terpesona melarik bulan ketenangan bersimpulkan ketabahan. Bersila pada dedaun lantai beralaskan sejadah sambil membaca doa kebaikan. Lantas mengalir satu persatu kekhilafan dibasahi genangan alur keinsafan. Rawan pada hati menyentuh keampunan dibalut bisikan kekesalan, bersama harapan Allah maha mendengar. Khusyuk pada jiwa bukan di dunia semata tetapi ganjaran terhebat adalah di pengakhiran perjalanan hidup kita dan yang memilih taat. Mari, gandakan coretan perilaku mulia demi noktah yang berakhir bahagia.
Memandangkan bentuk puisi ini berbeza daripada bentuk puisi konvensi, maka analisis yang menjurus kepada aspek pemadatan kata agak sukar dilakukan. Justeru, fokus penelitian hanya akan membincangkan nada, unsur lirik, metrik puisi, pengulangan dan pilihan bahasanya. Dari sudut nada dan lirik, puisi prosa ini didapati bernada melankolik kerana menggambarkan perasaan penyair yang insaf dan sedar tatkala tibanya Ramadan. Manakala dari aspek metrik atau meter, puisi ini sekurang-kurang memiliki hampir kesemua parameter iaitu iambic, anapestic, trochaic, spondaic, dan dactylic. Selain itu, terdapat juga unsur pengulangan bunyi vokal atau lebih dikenali sebagai asonansi pada puisi ini. Contohnya pada baris “Terpesona melarik bulan ketenangan bersimpulkan ketabahan”. Bentuk pengulangan sebegini banyak ditemui dalam puisi ini dan tentu sekali tujuannya adalah untuk menimbulkan kesan kehalusan, kelembutan, kemerduan atau keindahan bunyi.
Dari aspek pilihan kata, penyair dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam menyaring diksi agar kata-kata yang dipilih tidak seperti ungkapan bahasa seharian. Di sisi yang lain, keberanian penyair menghasilkan puisi prosa seperti di atas wajar dipuji. Usaha sebegini wajar diteruskan agar kemunculan kembali puisi prosa dapat menyajikan satu kelainan kepada dunia kepenyairan di Malaysia.
Kesimpulannya, ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini telah berupaya menampilkan kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan dari aspek pemadatan kata, namun aspek ini akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa sekiranya penyair rajin membaca dan berkarya. Selain itu, berusahalah untuk menghasilkan puisi-puisi yang lebih segar dan indah secara berterusan. Percayalah, permulaan yang kecil ini akan menjadi pemacu kepada kejayaan yang lebih besar, dalam usaha penyair membina wilayah kepenyairan yang tersendiri. Teruskan berkarya!