Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Puisi Ibarat Sepohon Bonsai di Taman Raja
  • WBS

Puisi Ibarat Sepohon Bonsai di Taman Raja

Utusan Sarawak 3 years ago

Oleh Dilah Tuah

MENULIS puisi ibarat mengubah sepohon Bougainvillea menjadi bonsai di taman raja. Prosesnya rumit serta menuntut kesabaran, keyakinan dan daya kreativiti yang tinggi. Sepohon bonsai yang cantik memerlukan pemangkasan, pengurangan daun dan penjagaan yang rapi. Justeru tidak hairanlah ia menjadi tanaman yang mahal, sarat dengan nilai seni dan estetika serta menyenangkan sesiapa yang memandang. Selain itu, sepohon bonsai yang cantik memerlukan jangka waktu yang lama untuk mendapatkan bentuk dan rupanya. Oleh itu, tiada jalan singkat dan cepat untuk menghasilkan sepohon bonsai yang rimbun dan menawan.

Sehubungan itu, memahami sifat bonsai akan membawa khalayak, khususnya para penulis muda untuk mengenali makna kreativiti dalam penghasilan puisi. Proses menyusun kata menjadi sebuah puisi yang indah bukan suatu pekerjaan yang mudah. Ia menuntut kesabaran, ketajaman dan keberanian untuk berkelahi dengan kata-kata. Selain itu, setiap diksi yang dipilih harus berupaya mengemukakan pemikiran yang luas, halus dan istimewa serta mempunyai jangkauan imaginasi yang jauh daripada realiti dalam penggunaan bahasa biasa.

Dalam bahasa mudah, kata-kata yang disusun pada baris puisi tidak semestinya mewakili makna yang terhimpun di dalam kamus. Pandangan ini selari dengan Terry Eagelton (1988) dalam Literary Theory: An Introduction yang mengatakan bahawa bahasa sastera memperkaya dan mengubah makna-makna yang diberikan oleh kamus. Justeru, untuk memperkasa dan memperkaya bahasa puisi, pemahaman yang jitu tentang konsep bahasa figuratif harus dikuasai oleh para penyair. Hal ini dikatakan sedemikian kerana bahasa figuratif berupaya menghasilkan imej tambahan dalam puisi sehingga yang abstrak menjadi konkrit serta menjadikan bahasa puisi lebih lunak dan nikmat ketika dibaca.

Selain itu, bagi penyair yang baru berjinak di belantara kata, keindahan puisi tidak hanya diukur pada kata-kata yang dipilih. Puisi harus puitis sifatnya, bahasanya berbeza dengan bahasa prosa, mempunyai nada yang pelbagai sesuai mesej, serta mempunyai jeda yang berfungsi untuk mengawal rima dan iramanya. Aspek-aspek yang melemahkan puisi harus dihindarkan. Antaranya ialah imejan bercampur, idea tergantung, klise, gaya melankolik, kata-kata bombastik, metafora berlebihan, tatabahasa yang salah dan bersifat prosaik.

Bagi membantu penulis muda untuk memahami istilah-istilah sastera yang dinyatakan tadi, beberapa buah buku seperti Bimbingan Istilah Sastera (2000) karya Rahman Shaari dan Kamus Kesusasteraan (2015) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka wajar dimiliki. Perkara ini penting kerana untuk menjadi seorang penulis, idea, tinta dan pena sahaja tidak mencukupi. Penulis harus mempunyai ilmu dan ilmu penulisan paling mudah diperoleh melalui pembacaan. Justeru tidak hairanlah A. Samad Said pernah mengungkapkan “Jika ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis”.

Berbalik kepada tiga buah puisi yang telah menghiasi ruangan ini pada minggu lepas, ulasan ini diharap dapat menambah baik mutu karya penulis pada masa akan datang. Puisi-puisi ini berjudul “Ruangan Peluang” karya Ezzati Lee, “Pulang, Bekal dan Impian” karya Jasmin Norhasfitri dan “Mawar Jambu” karya Zainulariffin Zawawi.

Puisi pertama berjudul “Ruangan Peluang” hasil nukilan Ezzati Lee tampil dalam lima rangkap puisi yang panjang. Dengan sekali pembacaan, khalayak dengan mudah menerka maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Gejolak perasaan yang membuak serta rajuk yang disulam pujuk menjadi inti pati puisi ini. Walaupun puisi ini berkelintar dalam ruang peribadi penyair, namun ia tetap suatu permulaan yang baik. Malah proses ini terjadi hampir kepada semua penyair khususnya pada peringkat awal pengkaryaan mereka.

Dari aspek susunan diksi dan bentuk, masih banyak yang perlu dimurnikan oleh penyair dalam puisi ini. Misalnya dalam frasa /dari diriku yang menghilang/ didapati tidak bertautan dengan frasa /Hari ini kau datang/ meminta peluang/ dalam rangkap yang sama. Apabila ditelusuri, didapati rangkap ini mengelirukan kerana menggambarkan seseorang yang datang dan seorang lagi menghilang. Sekiranya dua subjek ini bertemu, di manakah titiknya di dalam rangkap puisi ini? Hal inilah yang perlu diberi perhatian oleh penyair kerana sebuah puisi yang baik ibarat aliran sungai yang mengalir terus ke muara. Di bawah merupakan bingkisan penuh puisi ini:-

Hari ini kau datang,

meminta peluang,

dari diriku yang menghilang,

kerana ingin diberi ruang.

Namun ingin sebelum itu ku kenang,

nostalgia yang pernah terluang,

ketika hati masih berjuang,

sebelum kembali menjadi pejuang.

Di mana… (KT/?)

kau yang dahulunya mencurah bahagia

dalam perasaan yang bergelar cinta,

namun kau juga  yang dahulunya mengenalkan kepada hati

apa itu perasaan kecewa,

tak terlupa  juga dahulunya kau pernah menyebarkan benih tawa,

tetapi juga menjadi kini pemicu hemburan kepada tangisan lara,

sehinggakan apa yang ku rasa dahulunya bak tengguli ditukar cuka.

Tambahan lagi…

kau yang  pernah hadir tika diri terdampar sunyi,

namun setelah itu kau pula yang ingin bersembunyi,

jadi berbaloikah kau rasa jika hal itu kutangisi,

disaat hati terus menerus kau hirisi.

Akhirnya nanti…

haruskah kau ku beri peluang,

jika kau kembali bertandang,

adakah harus ku buka ruang,

jika noktah cinta dahulu pernah kau buang?

            Selain pemilihan diksi yang kurang tepat dan tidak bertautan, puisi ini juga didapati polos, prosaik, lewah dan konvensi sifatnya. Dalam rangkap ketiga misalannya, penyair didapati tidak menyaring kata-kata terbaik untuk membentuk susunan terbaik. Hal ini menyebabkan rangkap tersebut prosaik sehingga menjadi pemerihalan peribadi yang berlebihan. Dicadangkan agar rangkap tersebut dimurnikan dengan membuang perkataan yang dicoretkan (strikethrough).

            Walaupun bahasa puisi boleh menyimpang jauh daripada bahasa kamus atas dasar licentia poetica, namun ini tidak bermakna asas-asas tatabahasa perlu diketepikan oleh penyair. Misalnya dalam penulisan kata ganti nama diri singkat seperti “ku”, “kau”, “mu” dan “nya” yang dijarakkan dalam puisi ini yang sepatutnya didekatkan apabila bertemu dengan kata kerja seperti /ku buka/, /ku beri/ dan sebagainya. Begitu juga dengan frasa /Di mana…/ dan /Tambahan lagi…/ yang kelihatan kurang sesuai dimasukkan dalam baris puisi di atas.

            Puisi seterusnya berjudul “Pulang, Bekal dan Impian” merupakan hasil nukilan Jasmin Norhasfitri. Melalui tajuk puisi ini, khalayak sudah dapat menerka maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Dari segi bentuk, puisi ini terbina daripada tiga rangkap yang berkisar tentang ketuhanan dan kehidupan, iaitu dari alam roh sehinggalah ke alam akhirat. Sama seperti puisi yang pertama tadi, puisi ini memerlukan pemurnian dan penyaringan kata-kata. Hal ini disebabkan terdapat banyak kata-kata dalam puisi ini yang mubazir sifatnya dan prosaik. Dicadangkan agar penyair memurnikan semula puisi ini dengan menggugurkan perkataan yang dicoretkan (strikethrough). Di bawah dipaparkan bingkisan penuh puisi tersebut:-

Hidup adalah perjalanan pulang

Menuju Rabbul ‘Alamin

Bermula persinggahan di alam ruh, alam dan rahim

Kemudian singgah lagi sebentar di dunia

Buat mencari dan mengutip bekal

Mencabarnya pengembaraan mencari

Memilih dan mengutip bekal yang sesuai

Bekal yang harus dibawa pulang

Siapa Hanya yang punya ilmu sahaja yang tahu

Bekal apakah yang patut mereka dibawa

Ibaratnya seseorang pendaki

Yang telah mendaki ratusan gunung

Tika ingin mendaki gunung yang tinggi

Harus pendaki itu membawa bekal

Yang mudah dan ringan

Dengan harapan bila sampai ke puncak nanti

Bekalnya itu akan berguna

Begitu jugalah hidup

Semua berjalan menuju ke tempat pulang

Dan masing-masing harus punya bekal

Kutip dan pilihlah yang sesuai

Semoga bekal yang di pilih

Dan di kutip itu nanti

Bolehkan Mengizin diri yang hina

Berada di bawah panji kekasih-Nya ص

Inilah impian terbesar manusia.

            Selain itu, penyair juga harus berhati-hati dalam menyusun kata agar puisi tidak menjadi binaan yang janggal dan polos. Misalnya pada frasa /Bermula persinggahan di alam ruh, alam rahim/, yang kelihatan janggal kerana penggunaan kata “persinggahan” sebelum alam roh (ejaan ‘ruh’ dalam puisi ini juga didapati kurang tepat). Walhal, perjalanan hidup seorang Muslim bermula dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Oleh itu, jika dalam baris ketiga dimasukkan perkataan “persinggahan” di alam roh, maka ia telah berkontradiksi dengan sifat awal yang ada pada alam roh.

            Di samping itu, terdapat juga kesalahan penulisan “di” dalam puisi ini yang dieja terpisah di hadapan kata kerja yang mengikutinya. Contohnya “di pilih” dan “di kutip” pada rangkap akhir yang seharusnya ditulis rapat, iaitu “dikutip” dan “dipilih”. Di sisi yang lain, terdapat huruf Arab, iaitu ص)) selepas perkataan “kekasih-Nya” pada baris keempat rangkap terakhir puisi ini yang muncul tanpa makna. Seandainya ص adalah simbol, maka ia tidak sewajarnya hadir selepas “-Nya” yang merujuk kepada Allah SWT. Secara keseluruhan, puisi ini baik sekiranya dimurnikan atau disusun dengan lebih teliti. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi berunsur Islam mampu memberi kesan dan pesan yang mendalam kepada khalayak pembaca.

            Puisi terakhir berjudul “Mawar Jambu” karya Zainulariffin Zawawi menawarkan tiga rangkap puisi yang baik dan menarik. Mengapa puisi ini dikategorikan baik dan menarik? Hal ini disebabkan penyair didapati berupaya menyaring kata-kata terbaik serta mampu menimbulkan kesan estetika yang menyenangkan. Diksi yang singkat dan padat serta daya kreativiti penyair yang berani bermain dengan metafora menjadikan puisi ini segar, walaupun persoalan yang dikemukakan oleh penyair masih berlegar dalam ruangan peribadi. Di samping itu, keupayaan penyair bermain dengan kata denotasi dan konotasi telah melahirkan sebuah puisi yang matang dan istimewa khususnya bagi penyair muda.

            Di sisi yang lain, puisi ini juga memperlihatkan pertautan idea dari satu rangkap ke satu rangkap yang lain. Hal ini secara tidak langsung menjadikan puisi ini bergerak dari landasan kata dan membawa pembaca kepada keindahan makna. Sekiranya imej-imej ini dipaparkan pada layar imaginasi, pembaca dengan mudah dapat menggambarkan maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Bingkisan penuh puisi ini seperti di bawah:

Bangku berdamping elok

Memandang semilir menenun riuh

Gelora sepetang di Kota Mukah

Menanti kepulangan senja malar

Sementara lautan masih nyawa

Kasih di wajahmu

Melakar senyuman manis padaku

Pesonamu menggamit rindu

Suratan setia batin sejatiku

Bagaikan tantangan sekuntum lebah madu

Berdegup resah

Rindu kisah

Meluahkan sejambak cinta

Namun mendiamkan ikrar-ikrar sayang nan diari jiwa

Kapan menjemputmu, Mawar Jambu

Warnaimu mutiara kekasihku sekujur hidup

            Sesuai dengan matlamat ruangan ini untuk memberi bimbingan kepada penyair muda yang baru berjinak dalam dunia puisi, terdapat beberapa aspek dalam puisi ini yang perlu ditambah baik. Antaranya, penyair didapati agak tergesa-gesa membentuk episod dan membuat kesimpulan lewat puisi ini. Hal ini menyebabkan wujud baris yang prosaik dalam rangkap kesimpulan seperti pada frasa /Namun mendiamkan ikrar-ikrar sayang nan diari jiwa/ dan /Warnaimu mutiara kekasihku sekujur hidup/. Dalam membentuk penutup yang padu dan berkesan, pemilihan diksi yang terbaik membolehkan puisi difahami mengikut emosi yang dihasratkan oleh penyair.

            Secara kesimpulan dapat dirumuskan bahawa ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas telah berjaya memperlihatkan sisi kekuatan dan kelemahan dalam puisi masing-masing. Setiap penulis harus menyedari bahawa sesebuah puisi perlu mendukung sebuah makna yang besar dalam ruangan yang terbatas. Perkara inilah yang kerap berlaku kepada penyair kerana kurang cermat dalam memilih kata-kata terbaik bagi membina susunan terbaik. Diharapkan ulasan ini dapat membantu para penyair untuk menghasilkan puisi-puisi yang lebih berimpak dan mendunia. Teruskan berkarya!

Continue Reading

Previous: Naratif Seorang Nenek
Next: Mencari Konflik Menerusi Cerpen “Naratif Seorang Nenek”

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.