
Hujung Hidup
bersediakah kita
pada hujung hidup ini
atau masih leka memburu impian
dalam irama kehidupan
ada lirik yang menipu
lagu yang membelenggu
jiwa yang mengingati
akan berhati-hati
menelusuri hari dengan teliti
hujung hidup itu pasti
walau dalam teka-teki
ia rahsia suci
permulaan kepada yang abadi
perjalanan menemui Ilahi.
Wan Roslina Wan Yusof
Universiti Malaysia Sarawak
Teduh Ramadan di Relung Jiwa
Ramadan menurunkan tirainya perlahan;
namun jiwaku masih ingin berlama…
di teduh rahmat-Mu.
Pelita wahyu menyinari malam,
ayat-ayat suci menuntun langkah yang rapuh;
aku menadah cahaya-Mu,
mengutip serpihan berkah di halaman hari.
Andai ini Ramadan terakhir yang kutemui,
biarlah jejak rahmat-Mu terukir di relung hati,
mengalir bersama doa dan syukur,
menjadi pelita abadi
yang menyinari setiap langkah hidupku.
Alhamdulillah…
atas nikmat waktu yang Engkau anugerahkan;
masih diizinkan jiwa ini
menyusuri teduhnya Ramadan.
Idawatti Zaidil
Catatan 17 Ramadhan
Peti Cahaya
Lensa,
membidik dunia seperti penjaga sunyi,
mengambil secebis masa
agar tidak hilang ditelan waktu.
Lensa,
menangkap cahaya yang berlari di atas wajah
mengikut kenangan pada sehelai kertas
seolah-olah waktu boleh disentuh dengan jari.
Lensa,
bukan sekadar alat
dia penyair dalam diam
bercerita melalui bayang dan warna
Abdullah Al-Qayyum
Teratak Puteri, 2025