Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Puisi
  • TEMPATAN
  • WBS

Puisi

Utusan Sarawak 3 days ago

Tidur yang Masih Bangun

Dalam lena yang separuh mimpi,

aku mendengar derap waktu berlalu,

desir tayar di lorong sempit,

lalu-lalang manusia yang tak pernah berhenti.

Di kota ini, malam tak mengenal diam,

neon berkedip, sibuk berbisik,

menyulut resah dalam kantung mata,

membakar damai dalam detik yang singkat.

Aku ingin tidur yang sebenar tidur,

bukan terjaga dalam lena palsu,

bukan mimpi yang dihujani dering,

bukan nyenyak yang tercarik bayang.

Aku rindu bunyi angin di celah daun,

bukan gemuruh mesin menelan sunyi,

aku ingin gelap yang mendakap,

bukan kelam yang menjebak sepi.

Tuhan, di mana lena yang damai?

Di mana pagi yang tidak tergesa?

Di mana manusia tidak mengejar,

tetapi berjalan bersama waktu yang rela?

Aku masih bangun dalam tidur ini,

mengharap malam mengerti rintih,

andai ada ruang untuk terlelap,

biarlah ia dalam pelukan yang benar-benar hening.

Rayner RK

2025

Pinjam

Pinjamkan hatimu

pinjamkanlah seketika

untukku berteduh

selagi hujan masih lebat

agarku masih kuat

bukakan hatimu

bukakanlah perlahan

agar sinarmu tak berlebihan

untuk kau harungi jalan berliku

merempuh belantara

menuju senja

pejamkan matamu

pinjamkanlah  lenaku

tatkala senja berlabuh

Malam bersauh

kerana sinarmu

hanyalah pinjaman

Salleh Muslim

SSB Kuching, Sarawak

25 Mac 2025

jala tua

di hulu sana

kulihat seorang lelaki

terbongkok-bongkok menarik jala

seraya mendengus melepas beban

derita pada Batang Cinta

bermudik mengheret jala tua

menembus hampa hidup

nafas tuanya

menemani perjalanan tanpa kata

jala tua penuh luka yang dibalut duka

mungkin esok tak lagi mencium matahari

Qurratu Aini Izzatie

Sungai Bakong, Miri

Sarawak

2025

Continue Reading

Previous: Doris serah cek berjumlah RM400,400 kepada 41 penerima
Next: BUDI95 bakal cetus gelombang kesedaran keselamatan jalan raya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.