

Usahaku
Di bangku sekolah aku bercita-cita
hendak membanggakan ibu dan ayah
Membaca, menulis serta mengira
aku berusaha demi ilmu di dada.
Sewaktu di sekolah
penuh cabaran dan ajakan yang membawa aku ke arah kelalaian
Namun tetap kuingat pesan ibu dan ayah
mencapai kemenangan harus dilewati keperihan.
Segala susah yang telah kuharungi
Ku nikmatinya saat ini
Panjang tutur nasihat orang tua
Telah ku semat di dalam dada
Agar aku mampu berjaya.
Namun, semua yang telah ku nikmati hari ini
bukanlah berarti aku telah berjaya sepenuhnya
Masih terlalu panjang jalan kehidupan yang perlu kutempuhi
demi pengalaman yang mendewasakan nanti.
Biarpun jua di mana ku berada nanti
Tidak akan ku lupa usahaku selama ini.
Januarius Glenn
Serian, Sarawak
Kamar Sejuta Kenangan
Antara kau dan aku
Ada rindu yang menggebu
Pada siapa aku mengadu?
Pada ranjang yang rindu?
Yang rindu akan lelucon hari-hari lalu?
Antara kau dan aku
Ada dendam yang membatu
Pada siapa aku mengadu?
Pada pintu yang dungu?
Yang dungu merelakan pemergianmu?
Kini kamar ini hanya membisu
Tiada canda tawa yang bertamu
Mengundang aku dalam celaru
Terhimpit antara dendam dan rindumu
Apakah yang kau tinggalkan padaku?
Sekeping rindu yang semu?
Atau mungkin
Seberkas dendam yang haru-biru?
Petrus Anak Jangin
Harga Sebuah Kehidupan
Angin menderu di lembah sunyi,
Membawa nestapa ke ufuk bumi.
Esten merintih di tanah gersang,
Menanti tuah yang tiada datang.
Mentari garang di puncak maya,
Membakar harap yang kian layu.
Hingga hadir seorang bidadari
Bak rembulan di lautan biru.
Lyra bersinar serupa fajar
Membawa rahmat menyingkir duka
Dibajainya hidup dengan anugerah,
Hingga Esten lupa derita lama.
Namun, tamak bertahta di hati,
Membakar nurani tanpa henti;
Seperti belukar dijilat api,
Hangus segala nilai insani.
Cinta dijadikan umpan keinginan,
Kasih diperah hingga kering lesu.
Gunung tersedu, sungai meluap
Bayu resah mendesir pilu.
Lyra terisak, hatinya robek
Namun Esten terus terleka.
Lalu petir janji memanah daratan,
Langit kelam berkabung duka.
Badai hutang menimpa, rahmat sirna,
Satu persatu nikmat binasa.
Esten tersungkur di tanah gundah,
Meratap kasih yang telah musnah.
Namun Lyra melangkah pergi,
Bagai bayang ditelan senja.
Kini langit malam bisu tanpa sinar,
Hanya sepi mengukir nestapa.
Barulah Esten mengerti hakikat,
Bahawa hidup berhutang takdir,
Tiada yang datang tanpa bayarannya.
Lyiana binti Lidi
Mukah