Kurang Tanpa
Duhai manusia,
dunia kini semakin kurang, menuju tanpa.
Telefon sudah tanpa wayarnya.
Memasak kini tanpa apinya.
Kenderaan melatar tanpa kendaliannya.
Makanan sudah kurang lemaknya.
Pakaian kini kurang kainnya.
Riang anak muda tanpa kerjayanya.
Tayar pun sudah tanpa anginnya.
Ketua negara kurang wibawanya.
Isteri melenting, kurang taatnya.
Anak bertutur tanpa adabnya.
Lahir bayi tanpa orang tuanya.
Hubungan kini tanpa pengertiannya.
Hati sudah kurang rasanya.
Tingkah laku kurang caknanya.
Kini, semuanya kurang,
mahupun tanpa. Namun,
harapan kita masih ada,
tanpa penghujungnya.
Tatkala melihat,
lidah kelu tanpa kata.
Andai tiada yang bersuara,
menulislah aku tanpa nilainya.
Adhwa Mahyuddin (AdMaDi)
Waktu Muda
Suatu tengahari
ku termenung melihat dahan
pokok ditiup silih di bawah sinaran matahari
bunga membengkar
bagai diriku yang masih muda,
senyuman lebar tak
pernah kemalapan.
kini diriku telah matang,
ujian yang aku jalani
bagai hempasan
ombak di pantai
aku merayu kepada tuhan
supaya
cahaya yang
seperti titisan air mata ini dapat
membimbingku keluar dari
kegelapan yang menelan bayang-bayangku
dan fikiran serabutku.
Selles Metchu Anak Robin
SM Jalan Riam
Bolehkah Aksara Menjadi Tulang?
ada tika,
bergelantung kata-kata di minda
gugur tergelincir
ke dalam mulut,
melahir rasa mual. molek
sebelum memuntah,
dikunyah
agar serpihan aksara
menjadi tulang
pada lidah.
Johari A. Julaihi
Kota Samarahan,
Julai 2, 2023.