Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • PUISI
  • WBS

PUISI

Utusan Sarawak 3 years ago

Selamat Malam Bidadariku

Malam bulan lima belas.

Seri yang kugilai dahulu

seakan sirna malam ini

cahaya yang kupuja suatu masa kita

menganyam asmara malam pengantin: lesap

seakan cahaya bulan dilindung awan

suram, redup, malap!

Malam ini,

malam bulan lima belas

sewajarnya cahaya purnama menghujani

segenap pelosok bumi

menyeri seluas muka langit

namun cahaya itu tidak kelihatan malam ini

ditutup awan-gemawan

kelabu pekat, seakan hitam sarat menggendong hujan.

Apakah mampu

bayu cinta kita berpuput malam ini

meniup, mengusir awan hitam

yang menudungi cahaya rembulan

atau

apakah bayu itu sudah mati

dipancung rasa benci

dalam tutur kita yang berselisih.

Malam ini,

aku yakin di balik awan itu terselindung rembulan

bulan purnama yang sedia memandikan cahaya

ke segenap pelosok buana.

Malam ini,

aku pasti, aku sungguh pasti

di lantai hatimu masih menyala api cinta,

biarpun bersisa puing bara

api itu pernah marak dahulu, namun hampir padam olehku.

…Aku mengaku…

Percayalah,

aku cuba marakkan api itu semula

dengan puputan bayu cinta mengikut irama nostalgik

semusim awal kita bersama

menenun cinta dalam kehujanan cahaya

malam lima belas, malam purnama.

***

Selamat malam bidadariku,

moga serapahku ini

bisa melontar dirimu, ke langit asmara.

Ramli Hassan

Sekolah Kebangsaan Abang Galau Rajang

Memori Teratak Usang

Masihkah kau ingat

di jendela ternganga luas itu

laungan ibu kedengaran memanggil

tika kita sedang asyik

bermain lopak seusai langit menangis.

Masihkan kau ingat

di halaman teratak ini

kita sering berseloroh

tint-ting, batu seremban, congkak, gasing

mengisi masa senja.

Masihkah kau ingat

di hujung anak tangga itu

ibu ayah duduk bertenggek

wajahnya tak lokek senyum

memerhati telatah kita bersama.

Masihkah kau ingat

di dapur itu

menikmati juadah penuh selera

kopi tanpa gula

masakan tanpa garam

roti tanpa kaya

semuanya terasa enak

bila dinikmati bersama.

Nor Hayati Hazemi

Kampung Kupang, Saratok.

Tetamu yang Dirindui

Dia kembali bertandang

tanda kasih Tuhan tanpa sempadan

hadir bersama tiga bekalan

rahmat, kemaafan dan pelepasan neraka.

Siang berlapar mendidik

jiwa menahan nafsu

malam penuh dengan bicara

pada Tuhan yang satu.

Datangnya disambut girang

pulangnya diiringi tangisan

semoga bersua kembali, Ramadan

mudahan takdir sudi mempertemukan

kita pada perjumpaan berikutnya.

Nabillah Bolhassan Dhoby

Sibu, Sarawak.

Continue Reading

Previous: Pengakuan yang Menyayat Hati
Next: MONA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.