Mekarlah (sayang)
Momen indah bersama berhujung
biar pedih,
asalkan kamu selamat pergi
takdir ditetapkan meninggalkan ibumu.
Dirimu dihanyutkan oleh arus alam
seperti saudara-saudaramu juga
hayatilah perjalanan mahal hidupmu.
Jangka hidup kita pendek kasihku
biar roh bonda berangkat dahulu
semangatku kekal abadi untukmu.
Kau tidak berseorangan sepi sayang
tanah, air, matahari, udara penemanmu
mereka menjaga dan menghiburkanmu.
Saat menguntum serlahkan keanggunanmu
jangan angkuh! Tapi syukuri nikmat Tuhan
spesismu hebat jangan saling berdengki.
Rugi sungguh mensia-siakan nafasmu
maka, manfaatkan hayat panjangmu
pesanilah anak-anakmu nilai hidup.
Usah kamu diikat oleh kehibaan
selagi masih bernyawa,
mekarlah,
mekarlah,
mekarlah,
mekarlah selamanya.
Sushil Sopran
Taman Bunga Rampai.
Membiru Selalunya Langit
Biru itu seruannya langit,
Keindahannya tetap tiada pasang surutnya,
Membiru terpuji penuh makna abstrak,
Sebirunya langit adakah benar kenyataannya.
Membiru selalunya langit,
Ungkapan hebat tidaklah berapa,
Akan tetapi sesuai menjadi capaian,
Buat pemimpi yang ingin mencapai.
Seruan biru bukannya palsu,
Jika canggah hilanglah makna,
Maka fahami erti kelainan,
Agar diri wajar terbukti.
Ashley Nielrikson
Kampung Pichin, Tebakang.
Cintaku Pada Dia
Pada suatu petang,
Pelangi indah bayu berhembus dingin,
Rusa berlari di padang,
Hadirnya membuat nubari berdegup laju,
Ke sana ke mari resah mengenangkannya.
Oh tuhan
Inilah cintaku padanya
Sejati dan murni.
Di gelap marcapada,
Bintang berkelip kejap
Kunang-kunang melayang terbang
Hati sarat dengan cinta
Hati girang kerana dia.
Oh tuhan,
Inilah pesanku
Moga ia hadir ke duniaku
Bahagia kami tanpa gusar.
Mok Kar Mui
Taman Malihah, Kuching.