Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • PUISI
  • WBS

PUISI

Utusan Sarawak 3 years ago

Sampai Bila Kita Merdeka

Ketika hening pagi berteleku

menyusun bait-bait doa berbintil di muka bibir

aku syukuri hari ini masih mampu aku miliki

berdiri memandang awan bergumpal riang

makanan masih lagi muat sepuluh suapan

air diteguk tiada keruh ditapis seribu lapisan

badan pula masih segak disarung baju baharu

dibeli ibu di pasar yang kian maju

aku ke sekolah melangkah gagah

bertemu rakan-rakan dan guru yang ramah

berteman tiada sengketa yang menyakitkan.

Ketika sinar cahaya langit menutup dada bumi

riang burung-burung bernyanyi

azan dilaung berkumandang merdu

anak-anak bertempiaran pulang ke pangkuan ibu

tangan dibimbing ayah kembali bersua bersama

tiada dentuman peluru mengganggu

tidur lena tiada lelah berjaga

negaraku bahagia merdeka selamanya

tetapi ada suara kecil bertanya

sampai bila kita merdeka

merdeka ada tarikh luputnya?

aku cuma menggeleng kepala

jawabku merdeka itu ibarat mata kita

jika tidak dijaga maka kita akan kehilangannya.

Dia bertanya lagi berbisik pada hati kecil ini

adakah jiwa-jiwa kita juga merdeka?

aku mengangguk sahaja diiringi tawa

jiwa itu jiwa kita

jika tewas dilibas anasir yang merobek kesetiaan

kita akan hanyut dalam lumpur yang memedihkan

jika hati sentiasa menang dalam pencarian

kita akan di puncak tetap bertahan

menjulang sebuah perjuangan para pejuang masa silam

menjadi pemangkin jiwa yang merdeka

bersama kita mulakannya

kerana merdeka kita

tidak akan pernah ada tarikh luputnya.

Bandang Anak Galayan

Sarikei, Sarawak.

Bicara dengan Alam

Saat jiwaku terasa berat

Saat akal terasa padat

Ku pandu mata menjamu dunia

Lalu mendarat pandanganku

Pada indahnya bulan milik Yang Kuasa

Bicara hatiku pada bulan

Patuhnya dia dan matahari bergantian

Setianya dia menjadi tanda ketentuan

Pergerakannya dikaji kadangkala dinantikan

Tenang, indah walau jauh kedudukan

Allah, betapa indahnya ciptaan

Sesaat beralih jelinganku pada kawanan bintang

Ada yang kabur, ada yang terang

Lalu fikiranku terbang menerawang

Hebatnya mereka kala berlabuhnya siang

Memandu manusia kala arahnya hilang

Allah, hebatnya ciptaanMu yang Dikau tayang

Ku pejam mata, nafas ku hayati

Cukup hanya cakerawala diperhati

Cukup hanya malam sebelum datangnya hari

Betapa besar ilmu yang dipelajari

Oleh tokoh besar al-Khawarizmi

Betapa untungnya ahli-ahli astronomi

Betapa bersyukurnya atas khazanah Ilahi

Siti Hajar Ramli,

Kuching.

Nasihat dari Tanah

Berdiri kaku di senja yang sepi

Melirik ke arah gunung sunyi

Terdetik di hati ingin menyapa kaki

Yang kini berpijak di atas bumi

Melihat daratan mencurah rezeki

Sedar khilaf yang ditangisi

Ke tanah jua akan kembali.

Ketika jasad menanam bahagia

Saat itu, diri mendabik dada

Menolak taubat menjemput dosa

Hingga merasa suci dari noda

Tidak gentar bencana melanda

Andai tahu di mana berada

Kembalilah berpijak di bumi nyata.

Manusia dicipta indah

Hidup penuh mawaddah

Asal usulnya dari tanah

Andai sifat melangit bercambah

Kenanglah pada saat harus merendah

Usah sampai pupus maruah

Akan kembali jua ke alam tanah.

Nadzirah Maripat

Kuching, Sarawak.

Continue Reading

Previous: Wira Alam Yang Dimusuhi Kapitalis
Next: Labang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.