Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Publisiti meluas untuk Malaysia
  • KOLUMNIS

Publisiti meluas untuk Malaysia

Utusan Sarawak 11 hours ago

SAMA ada kita suka atau tidak, kehadiran Donald Trump ke Kuala Lumpur selama 24 jam, sudah cukup untuk mempopularkan nama Malaysia di merata tempat di dunia ini.

Trump tiba di negara ini kira-kira jam 10.00 pagi Ahad lalu untuk Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat 2025 dan meneruskan perjalanan ke Jepun, pada jam 10.06 pagi keesokan harinya iaitu destinasi kedua dalam lawatan enam hari ke tiga negara di Asia.

Stesen televisyen antarabangsa seperti CNN, BBC, Al Jazeera, CNA dan berpuluh lagi rangkaian televisyen barat dan serantau turut membuat liputan secara langsung atau siaran tertunda. Malah, paparan media sosial seperti TikTok, platform X dan FB selain media cetak barat turut membuat liputan meluas.

Masyarakat barat yang tidak mengenali Malaysia secara dekat selama ini, sudah tahu serba sedikit bagaimana kemajuan dicapai terutama dari segi infrastruktur, sekali gus mengikis tanggapan Malaysia negara dunia ketiga yang tidak membangun.

AKSI tarian…. Anwar bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa sambutan ketibaan di Kompleks Bunga Raya, KLIA Ahad lalu.

Misalnya, video konvoi rombongan Trump yang melalui Lebuh Raya Maju (MEX) dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan melintasi Putrajaya bukan sahaja telah menarik perhatian global, malah mendapat pujian.

Video berdurasi 13 saat itu, yang dimuat naik di platform X oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi kepada Trump, Margo Martin, menunjukkan konvoi presiden itu bergerak dengan lancar di lebuh raya tiga lorong itu yang dalam perjalanan dari KLIA ke ibu negara.

Klip video itu dengan kapsyen, ‘President Trump’s motorcade through Malaysia en route to the ASEAN Summit,’ telah meraih lebih dua juta tontonan dan jumlahnya terus meningkat.

Bila menjengok di media sosial berikutan lawatan Trump ke Malaysia iaitu lawatan kedua Presiden Amerika Syarikat selepas Barack Obama pada 2016, ramai juga terkejut dengan tahap kemajuan.

KLIP video ini dengan kapsyen, ‘President Trump’s motorcade through Malaysia en route to the ASEAN Summit,’ telah meraih lebih dua juta tontonan dan jumlahnya terus meningkat.

Video pendek oleh Margo itu tular di pelbagai platform media sosial dengan pengguna memuji infrastruktur lebuh raya Malaysia yang moden dan pemandangannya yang indah.

Netizen Amerika Syarikat kagum dan terkejut dengan kualiti lebuh raya Malaysia semasa rakaman luncuran deretan kereta mengiringi kereta rasmi Presiden AS, ‘The Beast’.

KAGUM KEMAJUAN MALAYSIA

Seorang pengguna media sosial dari Carolina Utara di AS, yang menyiarkan di bawah nama pengguna @TechChris_NC, memerhatikan bahawa lebuh raya yang kelihatan dalam rakaman perarakan kereta itu kelihatan lebih bersih daripada jalan raya di Charlotte, bandar asalnya.

Komen itu mempersoalkan mengapa Malaysia terus dianggap sebagai ‘negara dunia ketiga’ walaupun terdapat bukti infrastruktur yang diselenggara dengan baik?.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih di bawah pentadbiran kedua Donald Trump, Karoline Claire Leavitt, 28, iaitu jurucakap politik Amerika Syarikat paling muda dalam sejarah turut memuat naik di media sosial berita Trump di Malaysia yang disiarkan di muka depan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times dan The Star.

SETIAUSAHA Akhbar Donald Trump, Karoline Claire Leavitt, memuat naik di media sosial berita Trump di Malaysia yang disiarkan di muka depan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times dan The Star.

Trump pasti puas hati dengan liputan itu sehingga mendorong Karoline Claire memuat naik berita dari media Malaysia. Wajah Karoline Claire bukan asing kerana saban hari memberi taklimat kepada wartawan di Rumah Putih mengenai isu semasa dan mengemaskini isu yang berlegar kepada bosnya.

Ketika di Korea Selatan semalam, Trump  masih memuji layanan baik Malaysia dan kemampuan Anwar menyelesaikan konflik Thailand-Kemboja.

Namun, di dalam negara ini tidak semua rakyat Malaysia mengalu-alukan kehadiran Trump berikutan sokongan kuatnya atau Amerika Syarikat terhadap Israel. Malah, rakyat Malaysia ‘kurang berminat’ bab perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja kerana mahu Malaysia mengutarakan isu Palestin secara terus kepada pemimpin dunia yang hadir.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pada penutupan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Selasa lalu menegaskan beliau sudah menyampaikan secara terus kepada Donald Trump, gesaan semua pihak yang menuntut kepada penyelesaian komprehensif dan menyeluruh terhadap konflik di Palestin khususnya di Gaza.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump (kiri) dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selepas menandatangani perjanjian mengenai mineral kritikal di Kuala Lumpur pada 26 Oktober. Foto AFP

Peluang itu ditegaskan Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN ketika berpeluang menaiki kenderaan bersama Presiden AS itu menuju Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad, selain ketika pertemuan dua hala kedua-dua pihak yang diadakan sepanjang kunjungan Trump ke negara ini.

Begitu pun, ada juga yang mempersoalkan sambutan ‘berlebihan’ untuk Trump di Kompleks Bunga Raya KLIA sehingga Presiden Amerika Syarikat itu turut menari.

Namun, ada juga nitizen menjawab bahawa sebagai tuan rumah, memang perlu sediakan kumpulan penari kebudayaan untuk sambut Trump, sekali gus menunjukkan budaya kita kepada pemimpin dunia itu.

Pada masa sama juga stesen televisyen Amerika dan antarabangsa termasuk media cetak yang berada di KLIA akan merakam pertunjukkan itu.

PROMOSI MALAYSIA

“Apabila Trump tiba-tiba turut acah-acah menari sebagai menghargai kumpulan budaya kita, itu dah dikira bonus. Lagilah ia menjadi perhatian media dunia untuk dijadikan bahan berita.

“Akhirnya Malaysia mendapat populariti luar biasa dari media seluruh dunia. Dan benda itu akan kekal di internet sampai bila-bila. Google tidak pernah lupa,” kata seorang nitizen.

TRUMP (tengah) bersama pemimpin Asean diketuai pengerusinya, Anwar Ibrahim.

Lepas ini katanya, kalau orang ‘search’, Malaysia salah satu yang akan keluar dalam carian adalah tentang Trump di Malaysia. Itu dah dikira bagus, katanya kerana Trump telah menolong mempromosikan negara kita ke seluruh dunia.

Apa pun isunya, kehadiran Trump di Sidang Kemuncak ASEAN menyerlahkan kumpulan negara Asia Tenggara itu ketika negara barat selama ini bagaikan ‘pandang sebelah mata’.

Bagi Trump, tarikan utama ialah peluang untuk mempengerusikan ‘perjanjian damai’ antara Thailand dan Kemboja, selepas pertikaian sempadan lama kedua-dua negara itu meletus menjadi konflik terbuka pada Julai lalu.

Menurut laporan berita asing, beliau mahukan kejayaan ini sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meraih Hadiah Nobel Keamanan atas usaha menyelesaikan konflik dunia, walaupun pihak Thailand enggan menggelarnya sebagai ‘perjanjian damai’.

Ini berlaku selepas satu lagi kejayaan luar biasa buat ASEAN, apabila Anwar selaku pengerusinya, menjadi perantara gencatan senjata awal antara dua negara tersebut.

Sebahagian kejayaan ini dikaitkan dengan Anwar sendiri, seorang ahli politik berpengalaman yang memanfaatkan hubungan jangka panjangnya dengan pemimpin Kemboja dan Thailand, di samping menawan hati Trump — malah berani bergurau tentang isu penjara.

Bagi kebanyakan pemimpin, kehadiran Trump memberikan kelebihan utama — peluang bersemuka dengan Presiden AS ketika rundingan tarif perdagangan berada di tahap penting.

Sebahagian besar negara anggota ASEAN bergantung kepada eksport, dengan Amerika Syarikat sebagai pasaran utama.

Selain Thailand dan Kemboja, Malaysia dan Vietnam juga menandatangani perjanjian dengan AS. Walaupun kadar tarif tidak dapat diubah, mereka berjaya mendapatkan pengecualian terhadap beberapa jenis barangan.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Trump di ASEAN, diplomasi lunak kepimpinan negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.