SARIKEI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan ibu bapa memulakan simpanan pendidikan anak sejak usia muda menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai persediaan menghadapi kos pendidikan pada masa depan.
Kakitangan PTPTN Sarawak, Zainul Ariffin berkata, orang ramai boleh memilih dua jenis produk simpanan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus, selain mendapatkan maklumat berkaitan pinjaman pendidikan PTPTN.
“Kami membuka kaunter bagi perkhidmatan Simpan SSPN Prime, Simpan SSPN Plus dan juga pinjaman pendidikan.
“Prime dan pinjaman adalah bagi membantu mereka yang ingin melanjutkan pengajian.
“Simpanan boleh dibuka untuk anak-anak seawal usia setahun sehingga 29 tahun sebagai persediaan pendidikan pada masa depan,” katanya ketika ditemui di Pavilion Sarawak & Perkhidmatan di Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei, hari ini.
Katanya, Simpan SSPN Plus menawarkan perlindungan takaful, manakala Simpan SSPN Prime memberi tumpuan kepada simpanan asas yang turut menawarkan pulangan dividen tahunan.
“Tahun ini kadar dividen bagi Simpan SSPN ialah 4.10 peratus, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pendeposit yang membuat simpanan secara konsisten,” katanya.
Katanya, PTPTN turut memudahkan urusan pelanggan melalui aplikasi myPTPTN yang membolehkan pengguna membuka akaun, membuat pembayaran simpanan dan mengurus pelbagai urusan berkaitan PTPTN secara dalam talian.
Penggunaan platform digital itu, katanya, memudahkan pendeposit mengurus simpanan pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke kaunter.
Oleh itu, beliau berharap ibu bapa yang mengunjungi Program Sarawakku Sayang mengambil peluang mendapatkan maklumat dan membuka akaun Simpan SSPN demi masa depan pendidikan anak-anak.
“Saya berharap ibu bapa yang datang ke Program Sarawakku Sayang singgah di kaunter PTPTN untuk mula menabung bagi pendidikan anak-anak kerana Simpan SSPN menawarkan pelbagai kelebihan kepada mereka,” katanya.
Oleh Earl Anek




